Skip to main content

Posts

Showing posts from March, 2017

Hajat Pelanggan dan Untung Menjual

Bila menjual buku ataupun alat bantu mengajar ni, ada masanya untung dah jadi nombor dua. Asalkan dapat sampaikan barang yang betul-betul dihajati customer untuk memenuhi keperluan mengajar anak-anaknya. Ianya satu kepuasan bila usaha kita sedikit-sebanyak dapat membantu memberi ilmu kepada anak-anak ini. Semoga terselit secebis ganjaran yang Allah kirakan sebagai amal yang baik dan berpanjangan mudah-mudahan. Inilah kisah saya hari ini. Ada seorang pelanggan yang tinggal di Dubai minta kawannya tolong bawakan set buku readeasy yang dibeli daripada saya ke Dubai kerana kebetulan kawannya itu akan pulang semula ke Dubai beberapa hari lagi. Hari terakhir barang perlu sampai ialah pada hari ahad, 2 April. Allah menguji, pada hari jumaat, 31 Mac poslaju menelefon supplier saya untuk mengambil semula parcel yang dihantar kepada kawan pelanggan saya ini kerana parcel telah rosak dan terkoyak. Memang tidak sempat untuk menghantar semula kerana hari sudah lewat, dan esoknya hari sabtu. Mus

Panduan Memilih Permainan Untuk Anak 0-3 Tahun

Saya percaya pasti ibu-ibu teruja apabila melihat lambakan permainan edukatif di pasaran. Bukan sahaja di shopping complex atau kedai menjual barang permainan, malahan di facebook dan instagram juga meriah banyaknya. Kalau boleh mahu dibeli semua untuk anak-anak tercinta. Bagi ibu-ibu yang mempunyai peruntukan lebih, anak-anaknya pasti mempunyai koleksi permainan yang bermacam-macam di rumah. Sampai terbuang atau bersepah tidak tergunakan kebanyakannya. Tetapi adakah anak-anak kita perlukan kesemua permainan-permainan itu? Ini adalah panduan yang ibu-ibu boleh gunakan untuk ibu-ibu memilih permainan yang penting dan bermanfaat untuk anak-anak pada peringkat awal. 1. Pilih permainan yang menambah kosa kata Antara permainan yang menambah kosa kata anak-anak adalah permainan yang bertemakan buah-buahan, sayur-sayuran, haiwan. Umur yang sesuai untuk diberikan permainan bertema ini adalah ketika anak berumur 0-3 tahun. Ketika bermain, ajarkan anak-anak menyebut bunyi. Contohnya, jika

Mengenalpasti Perkembangan Pertuturan Anak Mengikut Tahap Umur

Jika dahulu, jarang kita dengar masalah pertuturan di kalangan kanak-kanak. Yang pastinya masalah pertuturan di kalangan anak-anak telah wujud sejak 10 ataupun 20 tahun dulu. Mungkin disebabkan tiadanya pendedahan lalu ibu bapa kurang kesedaran dengan masalah ini. Ini adalah panduan ringkas dan mudah untuk mengenalpasti samada anak-anak kita mempunyai masalah pertuturan ( spee ch delay). 1. Ketika anak berumur 1 tahun Pastikan anak sudah boleh menyebut 1 perkataan yang mempunyai maksud. Contohnya memanggil mama, baba dengan niat memanggil ibu atau ayahnya. Bukan sekadar menyebut mamama tanpa tujuan. Sekiranya ketika berumur 1 tahun masih belum boleh menyebut 1 perkataan mudah, pantau perkembangan anak sehingga berumur 1 tahun 6 bulan. Tahap umur 1 tahun 6 bulan merupakan borderline untuk anak menyebut 1 perkataan mudah. 2. Ketika anak berumur 2 tahun Anak sepatutnya sudah mampu menyebut 2 patah perkataan seperti nak makan, nak air. 3. Ketika anak berumur 3 tahun Anak sudah bol

Pro dan Kontra Permainan Elektronik

Perkembangan industri permainan dan pendidikan kanak-kanak dilihat semakin pesat sekarang. Sudah banyak permainan dan alat bantu mengajar yang bermacam-macam di pasaran. Antaranya buku-buku elektronik dan juga smart pen. Saya sendiri turut menjual Ebook Islamik dan Smart Pen Upin Ipin yang mendapat permintaan tinggi dari ibu bapa. Persoalannya, adakah buku-buku elektronik dan smart pen ini membantu pembelajaran anak-anak kita? Sebenarnya, tidak salah untuk memberikan anak-anak alat bantu mengajar elektronik seperti ini, syaratnya anak perlu menggunakannya dengan pengawasan ibu bapa. Pastikan juga anak tahu cara menggunakannya dengan betul, bukan sekadar kerana teruja mendengar bunyi-bunyian yang dikeluarkan sahaja. Jika anak sudah boleh fokus dan faham apa yang diterangkan oleh ebook ataupun smartpen itu, tiada masalah untuk membiarkan mereka menggunakannya. Biasanya, hanya anak yang berumur 4-5 tahun sahaja sudah mula faham mengenai cara penggunaan alat bantu mengajar elektronik i

6 Tahap Perkembangan Kemahiran Anak

Enam tahap perkembangan kemahiran anak yang perlu diperhatikan oleh ibu bapa: 1. Kemahiran eye-contact Kemahiran ini perlu diperhatikan dari anak berumur 0-1 tahun. Perhatikan sama ada anak boleh memandang kita ataupun memerhatikan apa yang sedang kita lakukan. 2. Kemahiran daya tumpuan (menumpukan perhatian) / attention Perhatikan samada anak-anak mampu memberi perhatian terhadap penerangan ibu bapa mengenai sesuatu yang baru bagi mereka, ataupun ketika bermain. Adakah mereka memberi tumpuan ketika bermain ataupun ketika terlibat dalam apa-apa aktiviti? 3. Kemahiran mengambil giliran Kemahiran mengambil giliran ketika bermain ataupun melakukan aktiviti bersama-sama. Ini menunjukkan anak memahami dan mampu bekerjasama ketika melakukan apa-apa aktiviti dengan rakan-rakan/adik-beradik/ibu bapa. 4. Kemahiran meniru Terdapat banyak kemahiran meniru yang boleh dipelajari anak-anak. Antaranya, meniru perbuatan/gaya, meniru mimik muka, dan kemahiran meniru yang paling sukar adalah kem

Puji Allah di depan Anak-anak

Setelah hampir seminggu demam selsema, saya tidak mampu lagi bertahan dek kerana masih perlu menguruskan anak-anak dan rumahtangga walaupun keadaan diri memang tidak sihat. Akhirnya saya bersetuju dengan gesaan suami yang sudah beberapa kali mengajak saya ke klinik. Sesampainya di klinik dan setelah doktor melakukan pemeriksaan, kami sempat berborak kosong sebentar. Kebetulan suami juga perlu berjumpa doktor kerana tangannya tiba-tiba sahaja timbul bintik-bintik gatal. Selsema saya ini rupanya perlu dirawat dengan antibiotik. Tidak cukup sekadar dengan ubat selsema dan paracetamol yang sedia ada di rumah. Di bilik doktor, kami berbual-bual sekadar berbasa-basi. Tanya doktor, "anak dua orang je ye? dua-dua perempuan ye?" saya senyum dan iyakan, "ye baru dua orang ni, tapi yang sulung tu lelaki" merujuk kepada Afif. Doktor terkejut kerana disangkanya Afif seorang anak perempuan. Saya dan suami tidaklah terkejut mahupun tersinggung dengan kata-kata doktor kerana suda

Cuti Sekolah dan Demam

Kadangkala sebagai isteri dan ibu, kita rasa kita kuat, kita ego. Biasanya kalau setakat tak sihat sikit-sikit seperti demam, selsema, kita abaikan sahaja rasa tak sihat itu. Kuat kononnya. Rasa diri masih mampu menguruskan anak-anak dan keluarga seperti biasa. Saya juga begitu. Seminggu anak bercuti sekolah, banyak yang saya angankan untuk lakukan bersama anak-anak. Akhirnya saya diuji dengan  selsema yang tak mahu sembuh. Selsema yang berlarutan sehingga demam dan sakit kepala. Pada mulanya saya sangka saya cuma selsema biasa sahaja. 4,5 hari nanti sembuhlah saya. Saya tak ambil paracetamol ataupun ubat selsema. Sebabnya rasa diri masih kuat dan boleh sembuh begitu sahaja tanpa ubat-ubatan. Biasalah, dah memang musim selsema kata saya. Saya seorang yang sangat jarang demam ataupun selsema. Seingat saya kali terakhir saya demam selsema ialah 3 tahun lepas. Selebihnya hanya selsema biasa sahaja. Disebabkan itu saya tidak mengambil apa-apa ubat-ubatan untuk menghilangkan selsema saya

Ragam Ibu Melepaskan Anak Bersekolah

Setelah berkahwin, saya tak pernah lagi keluar bekerja di luar. Apabila anak kami lahir, saya memberikan sepenuh perhatian kepadanya. Tak pernah berjauhan langsung dengannya. Hubungan kami sangat rapat. Kasih di hati juga sangat kuat. Dari kecil saya menyusukannya dengan susu badan sepenuhnya, segala-gala untuknya saya lakukan sendiri dengan tangan saya. Saya mahu dia terus merasakan kasih sayang saya mengalir dalam dirinya. Disebabkan itu, beberapa bulan sebelum anak sulung saya bersekolah, saya sangat risau sehingga terasa seolah-olah akan kehilangannya, hilang kasih sayang dan cintanya. Risau tumpuannya akan beralih kepada kawan-kawannya dan cikgu-cikgunya. Ikutkan hati, mahu saja saya homeschool anak saya ini. Biar dia sentiasa berada di depan mata saya. Namun, sedar kekurangan diri dari segi sumber dan kewangan, saya terpaksa merelakan dan melepaskan juga anak saya ini ke dalam jagaan cikgu-cikgunya di sekolah. Selain itu, saya turut risau anak saya akan ketinggalan kerana pe

Kenapa Jual Buku?

Dalam banyak-banyak produk yang boleh dijual, kenapa saya memilih untuk menjual buku? Awalnya, saya mendaftar sebagai ejen menjual buku kerana saya sendiri sukakan buku, supaya saya dapat membeli buku-buku yang saya mahu pada harga yang murah. Tapi, saya sendiri tidak mempunyai peruntukan untuk membeli buku untuk diri-sendiri kerana saya tidak mempunyai pendapatan sendiri. Jadi, bagaimana caranya supaya saya dapat membeli buku-buku yang saya mahu? Ya, caranya adalah mula menjual buku. Saya mencuba-cuba menjual buku yang saya rasakan boleh jalan. Alhamdulillah ada yang membeli. Apa yang sangat membantu, syarikat yang saya berdaftar dengannya begitu rancak mengadakan promosi free shipping pada awal penglibatan saya sebagai ejen mereka iaitu sepanjang tahun 2016. Promosi free shipping sangat membantu kerana buku merupakan item yang agak berat. Bila promosi free shipping dilakukan, maka ramailah yang tidak akan melepaskan peluang memborong buku untuk diri-sendiri dan anak-anak. Saya am

Bercuti Empat Hari

Empat hari bercuti, banyak perkara perlu diselesaikan. Hari ni uruskan rumah dulu. Esok sambung aliran rezeki. Empat hari ini, rasa syahdu, mengenang zaman suci dan naif sewaktu kanak-kanak dulu. Semuanya indah-indah seronok selalu. Rindu... Rindu saat masih belum mengenal cinta, saat hati belum diserahkan pada mana-mana lelaki. Lebih indah masa itu. Bahagia dan ceria penuh cita-cita. Cinta yang memusnahkan diri dan impian itu bukanlah cinta. Ramai yang keliru dan celaru. Empat hari itu ada juga yang datang mengadu. Masalah yang hanya mampu didengari tanpa dapat dibantu. Semoga Allah berikan kebaikan buat kamu dan kamu. Semoga Allah ubati hati kamu yang sedang bersabar dalam sendu. Hanya Dia jualah yang Maha Membantu, yang memegang hatiku, hatinya dan hatimu. Moga diberikan kekuatan dan dibukakan jalan keluar buat kamu dari masalah itu. Hari ini, hati cuba menjejak masa lalu. Masa yang ditinggalkan jauh di belakang. Saat diri terperangkap dengan langkah yang silap. Terlalu banyak ya

Anakku Guruku

Anak adalah guru. Sering kita dengar, ibu adalah guru pertama anak. Ini benar. Seorang ibu memang merupakan guru pertama anak-anaknya. Apabila mendapat anak pertama, saya sedar, anak inilah bakal menjadi guru saya yang mengajar saya menjadi seorang ibu. Saya tak pernah tahu mengenai ilmu kelahiran, disebabkan pengalaman trauma melahirkannya, mengajar saya mendalami ilmu mengenai kelahiran. Cara melahirkan yang lebih mudah dan tidak menyakitkan. Saya tak pernah tahu mengenai ilmu penyusuan. Tak pernah bayangkan pun yang akhirnya saya akan menyusukan anak. Disebabkan kesusahan saya untuk menyusukannya, saya dalami ilmu penyusuan. Rupanya ada ibu-ibu yang tak mampu menyusukan anak sesudah lahirnya anak ke dunia. Rupanya masalah flat nipple/inverted nipple itu wujud. Baru saya tahu. Saya tak pernah tahu cara mengendalikan si tubuh kecil ini. Tangan saya keras, tak pernah saya jaga seorang bayi walaupun adik sendiri. Dia mengajar saya cara mendukungnya, cara memandikannya, cara menghib

5 Perkara Perlu Tahu Sebelum Jadi Ibu

Pengalaman mengajar saya untuk ambil tahu banyak perkara sesudah menjadi ibu. Sesudah menjadi ibu baru tahu mengenai perkara-perkara ini sebenarnya sudah agak terlambat. Tapi, better late than never kan? Ini panduan untuk adik-adik yang bakal menjadi ibu. Rajin-rajinkan diri mencari dan membaca mengenai perkara-perkara ini. 1. Kelahiran. Ambil tahu apa itu gentle birth , hypno birth , hak-hak ibu ketika berada di labour room. Perlu atau tidak Vaginal examination ( VE ) berkali-kali, boleh atau tidak jika mahu dipantau perawat wanita sahaja. Perlu atau tidak kehadiran ramai doktor pelatih di labour room. 2. Penyusuan. Percayalah anda perlukan jiwa yang kental untuk terus menyusukan anak selama 2 tahun. Percayalah bahawa masalah dalam proses penyusuan itu sebenarnya wujud. Ambil tahu cara mengendalikan susu perahan/expressed breast milk (EBM), ambil tahu apa itu masalah flat nipple/inverted nipple , apa yang perlu dilakukan apabila bengkak susu, ambil tahu cara penyusuan dan postur

Bersalin Anak Pertama Episod 2

Malam pertama sebagai ibu dan anak, saya panggil nurse, dan beritahu saya tak pandai susukan anak. Nurse kemudian bawa anak saya pergi. Mungkin mereka memberikan anak saya susu formula. Setelah lebih kurang sejam anak saya dibawa semula kepada saya. Sungguh, saya tak tahu langsung apa yang perlu saya lakukan dengan anak saya. Nyenyak benar tidurnya mungkin disebabkan kekenyangan. Pesan nurse perlu tunggu baby kencing dan beraknya sudah mula kuning baru boleh discaj. Ikut logik pemikiran, saya pun cek diaper anak kecil ini. Ya, sudah mula kencing, berak pun sudah tapi masih kehijauan lagi. Tiba-tiba si kecil muntah susu. Saya lap dan salin bajunya. Biarkan dia tidur semula. Esoknya ketika doktor datang melawat saya katakan yang anak saya muntah malam tadi. Sebelum itu ada nurse berikan susu kepadanya. Mungkin untuk memastikan anak saya benar-benar sihat, doktor memindahkan kami ke wad paediatrik. Akibatnya, saya terpaksa berada selama 3 hari di hospital. Walhal, anak saya sebenarny

Sambal Telur Puyuh Afif

Satu sikap Afif yang selalu buat ibu rasa kena "smash", bila ibu lambat sediakan makanan, dia sendiri akan pergi ambil periuk nasi, ceduk beras, basuh dan letak atas dapur. Cuma belum pandai buka api dapur je lagi. Tengahari ni dia ambil telur puyuh pula. Nak buat sambal agaknya. Suruh ibu masak dari semalam tapi ibu tangguh tak masak lagi. Telur dah siap rebus tinggal nak buat sambal sahaja lagi. Janganlah selalu tampar ibu anakku. 😭 Mungkin Afif ada kekurangan jika nak dibandingkan dengan kawan-kawan sebanyanya. Ya, Afif kurang vocabulary, masih kurang fasih berbual secara dua hala. Perkembangan fizikalnya agak lambat dibandingkan dengan anak-anak lain. Setahun setengah baru boleh berjalan. Ibu senang hati saja bila Afif lalui fasa merangkak yang lama. Tapi yang pasti Afif anak yang baik. Kata cikgunya, Afif bijak, punyai logical thinking. Ada anak-anak yang lancar berbual tapi belum punyai logical thinking. Dan Afif tetaplah anak ibu biar apa pun kurangmu. Hanya ibu

Anak-anak dan Tuhan

Teks: Salena Shafiee Sambil angkat baju tengahari tadi, sempat melayan anak-anak yang belum mahu tidur. "Adik tengok tu, yang putih tu awan. Yang biru tu langit. Cantik sangat langit hari ni. Awan tu putih macam kapas." Adik pun panjat pagar melihat ke arah awan yang memutih dan langit yang membiru. Afif pun berminat, turutlah dia mendongak sama. "Pandai Allah cipta langit, cipta awan..." Afif bersuara, "nak naik!" sambil jari ditunjukkan ke arah awan. Ibu senyum. "Kalau Afif nak naik atas awan, dah besar nanti Afif kena bawa kapal terbang... Helikopter ke... Baru dapat rasa awan tu macam mana." "Afif nak bawa kapal terbang?" "Nakkk", jawabnya dengan penuh teruja. Ibu senyum lagi. "Kalau nak bawa kapal terbang, Afif minta kat Allah bagi Afif boleh bawa kapal terbang na. Nanti Allah bagi Afif bawa kapal terbang. Nak apa pun semua minta kat Allah tau." Afif diam. Sambil merenung pohon-pohon hijau di hadapa

Pelanggan dan Tracking Number

Teks: Salena Shafiee Antara cabaran ibu-ibu yang mencari duit dengan dropship ialah, supplier lambat feedback/respons. Tambah serius customer mula bersangka tak elok bila masih belum dapat tracking number. Dah ditanya pada supplier masih juga tidak berjawab. Di pihak customer pula terus menekan. Kalau tak pandai mengurus emosi, macam-macamlah isu lain akan timbul. Samada annoy dengan supplier ataupun dihamun dan dibodohkan balik customer. Jalan selamat, mohon maaf atas kelewatan dan jaminan barang akan sampai juga kepada alamat yang diberikan. Namun, esoknya usaha perlu diteruskan. Dapat supplier yang tidak mengenakan sebarang yuran ataupun minima yuran komitmennya pun dah seribu rahmat. Itulah usaha kecil-kecilan semata-mata mencari pendapatan. Mahu besarkan perniagaan, modal masih belum mengizinkan. Teringat pengalaman awal saya berniaga dulu, sewaktu belajar-belajar menjual perfume. Masalah utamanya adalah lambat dapat stok. Jika perfume diposkan oleh supplier, seminggu dua ba

Buat Playdoh Sendiri

TEKS: Salena Shafiee Playdoh ataupun plastisin memang kegemaran anak-anak. Ia juga sangat baik untuk menguatkan otot-otot jari yang halus dan comel tu. Kebiasaannya anak-anak diberikan playdoh sebelum memasuki fasa memegang pensil dan sebelum mula belajar menulis. Kalau anak masih belum mahir memegang pensil, nasihat yang selalu diberikan ibu-ibu yang lebih berpengalaman adalah, berikan anak-anak bermain playdoh. Kerisauan yang melanda ibu-ibu yang prihatin ialah, bahan-bahan yang digunakan di dalam penghasilan playdoh komersil. Pewarna dan bahan kimia yang digunakan mungkin membahayakan anak-anak yang bermain dengannya. Fitrah anak-anak, mesti nak masukkan sesuatu yang baru pernah dilihat ke dalam mulut kan? Apatah lagi playdoh yang berwarna-warni tu memang kelihatan menarik dan sedap. Penyelesaiannya? Buat sendiri playdoh untuk anak-anak menggunakan bahan-bahan yang boleh didapati di dapur rumah sahaja. Selamat dan tak perlu risau lagi membiarkan anak-anak bermain playdoh tanpa

Tips Parenting No. 1

Tips parenting nombor 1, didik diri-sendiri dahulu. Saya selalu ingatkan diri saya begini. Tiada tips lain yang dapat diguna atau diaplikasikan dengan baik sekiranya tips pertama ini tak dilakukan terlebih dahulu. Ibu-ibu, anak adalah cerminan kita. Mereka yang putih bersih dan suci ini sebenarnya sangat mengagumi ibu mereka. Ibu adalah bidadari pada mata bundar dan bercahaya mereka. Kita makhluk paling cantik fizikalnya, tingkahnya, kata-katanya bagi mereka. Kita dikagumi mereka sejak dari hari pertama mereka melihat kita. Kitalah idola, kitalah penglipurlara. Lantas, kekaguman itu membuat mereka meniru setiap tingkah dan kata-kata kita. Mereka belajar, mahu jadi seperti kita. Akhirnya segalanya diserap, dan diulang semula melalui perbuatan, tingkah dan kata-kata mereka. Kerana itu saya selalu percaya, tips pertama dalam mendidik anak, DIDIK DIRI-SENDIRI DAHULU. Jadilah wanita yang baik akhlaknya, elok penampilannya, baik budinya, tinggi adabnya, lembut dan sopan tutur-katanya,

Bersalin Anak Pertama Episod 1

Masih ingat lagi saat perit saya melahirkan anak pertama. Masalah utama saya adalah, TAK ADA ILMU. Saya tak pernah tahu bahawa rupanya melahirkan anak perlukan ilmu. Pengalaman dengan anak pertama dahulu, tak ada saya google atau lakukan pencarian info di mana-mana. Salah satu sebabnya saya tak ada resource waktu itu. Tiada akses internet sebab suami tak mampu nak sediakan untuk pastikan data internet sentiasa ada. Kadang-kadang sahaja saya dapat akses itupun amat jarang sekali. Waktu itu belum ada aplikasi whatsapp seperti sekarang. Saya merupakan anak perempuan tunggal. Tiada kakak mahupun adik perempuan. Tidak rapat tahap tidur sebantal dengan mana-mana sepupu perempuan, ataupun kawan perempuan. Dari kecil dibesarkan nenek buat saya janggal untuk merujuk apa-apa masalah wanita dengan emak sendiri. Lagipun saya seorang yang sangat reserved , susah memberi kepercayaan terhadap orang lain. Sudahnya, saya tidak ada sembang-sembang dengan sesiapa mengenai permasalahan atau kemungkina

Tiada Cara Yang Betul Mendidik Anak

Sebelum menjadi seorang ibu dahulu, saya sering terbayang-bayang indahnya jika memiliki anak-anak kecil... Melayan keletah mereka yang manja dan bijak. Menjawab pertanyaan-pertanyaan mereka yang kadang tak terfikir akan disoal. Yang terbayang memang indah. Terpasak niat di dalam hati, jika saya miliki anak nanti, nak diajar mereka begitu dan begini. Nak dibekalkan mereka itu dan ini. Namun, segala perancangan Allah jualah yang menentukan terjadi atau tidaknya ia. Tak semuanya akan berlaku satu persatu seperti apa yang kita impi dan rancangkan. Bila mula jadi ibu, mulalah terfikir-fikir cara yang betul untuk mendidik anak. Apatah lagi zaman teknologi pesat berkembang. Zaman yang segala-galanya di hujung jari sahaja. Sudah mudah mencari info. Sedikit demi sedikit saya mula mengikuti dan membaca perkongsian ramai orang di facebook. Kadangkala saya lakukan juga carian di google. Waktu itu ikon-ikon parenting belum tumbuh bagaikan cendawan selepas hujan lagi. Maka perkongsian yang tidak

Tak Tahu Masak!

Teks: Salena Shafiee Masih ingat lagi, saat-saat awal menggalas tugas sebagai isteri. Terlalu banyak yang tidak dikuasai. Banyak yang perlu diperbaiki dan dipelajari. Saya bukanlah seorang yang cekap mengurus rumahtangga. Bukan juga seorang yang mahir ilmu masak memasak. Kari pun tiada rupa, rasanya apatah lagi. Gulai lemak pula sentiasa terpisah lemaknya dari air. Nasi kadangkala mentah, adakalanya terlebih air, kuih-muih, biskut dan kek? Wah, jauh sekali. Menu sehari-hari, sayur goreng, ikan goreng, sambal tumis ataupun kari yang tak berapa jadi. Sehinggakan kami masing-masing muak dengan menu yang sama setiap hari. Suatu hari kami berbual mengenai menu masakan. Apa lagi menu yang boleh dimasak untuk mengalas perut setiap hari. Suami mencadangkan saya bertanyakannya pada emak saya. Soalan saya ajukan, panduan diberikan. Lauk berkuah lawannya biarlah dengan lauk bergoreng. Ayam atau ikan. Mulai saat itu saya belajar memasak menu-menu yang tak pernah saya masak seumur hidup saya.

Boleh jadi pengasuh anak saya?

Bila jadi suri rumah sepenuh masa, mungkin disalahtafsir orang sekeliling bahawa kami sedia menerima anak asuhan. Saya pernah melalui situasi ini. Dua orang jiran pernah bertanyakan kesediaan saya sekiranya diminta menjadi pengasuh anak mereka. Jika diambilkira dari segi kewangan, ya sememangnya kami memerlukan wang tambahan untuk menampung perbelanjaan setiap bulan. Namun, bila diminta untuk mengasuh anak ibu-ibu lain, wang jadi isu kedua. Terus terang saya katakan saya tak rela. Bagaimana saya tak rela anak-anak saya dijaga orang lain, begitu jugalah tak relanya saya menjaga anak ibu-ibu lain. Saya tahu saya tak mampu menjaga anak-anak ini dengan baik. Saya tahu saya takkan mampu memberikan kasih sayang dan perhatian seadilnya pada anak-anak ini kerana saya juga punya darah daging yang perlu dilayani. Tak mahu saya menghadapi risiko sekiranya berlaku apa-apa terhadap anak-anak ini. Biasalah anak-anak. Aktifnya dan sifat ingin tahunnya mendorong mereka menjadi berani. Bimbang ter

Pakej Bestari Bacalah Anakku

Pakej lengkap untuk mengajar anak membaca dalam Bahasa Melayu. Mengandungi set lengkap untuk permulaan kanak-kanak membaca beserta buku latihan, permainan dan alat bantu belajar. Keistimewaan Produk - Meningkatkan kemahiran membaca - Memperkukuh kekuatan ingatan Ka ndungan Pakej: 1.Set Bacalah Anakku 2.Buku Fonetik Ekspress 1 3.Buku Fonetik Ekspress 2 4.VCD Lagu Abu Ada Ayam, 5.Buku Permainan Kreatif 6.Poster Lagu Abu Ada Ayam Penerangan 1. Set Bacalah Anakku- set yang mengandungi 8 Buah buku,12 keping kad suku kata 2. Buku Fonetik Ekpress 1 Buku Aktiviti Bacalah Anakku - Fonetik Ekspres 1 merupakan sebahagian daripada aktiviti bahasa yang dapat dilakukan oleh kanak-kanak dan murid-murid dalam usaha menguasai kemahiran membaca. Buku Aktiviti Fonetik Ekspres ini menekankan aspek pengamatan dan diskriminasi huruf-huruf serta kekuatan ingatan mental mereka. Aktiviti-aktiviti di dalam buku ini hendaklah dibuat semasa pengajaran kumpulan ataupun diselangselikan dengan permai

8 Perkara yang WAHM Perlukan Untuk Kekal Aktif

Bila duduk dan merenung kembali masa lalu, sewaktu anak masih seorang, dan masih punyai banyak masa untuk menatang anak, menguruskan rumahtangga dengan sesempurna mungkin, terasa bahagianya bila punyai kelapangan masa sebegitu. Masih mampu berbaring sambil menonton tv, mampu menjaga dan memberi perhatian kepada anak sepenuhnya. Tiada kemarahan pada anak dek sibuknya diri yang berusaha mencari pendapatan. Tidak seperti sekarang yang masa menjadi keperluan. Tidak boleh dibazir sewenang-wenangnya. Semuanya perlu diuruskan dengan teratur dan bersungguh. Ya, bukan mudah menjadi ibu dan isteri yang menguruskan sendiri urusan rumahtangga dan anak-anak dalam masa yang sama sibuk mencari pendapatan sendiri. Saya sendiri dalam situasi ini. Dan ramai rakan-rakan maya saya di FB yang seangkatan dengan saya. Menguruskan anak-anak sendiri. Makan minum, pakaian dan kebersihan sedaya boleh dijaga rapi. Tiada makanan segera untuk anak-anak, yang kecil dipastikan menyusu badan sepenuhnya. Rumah dius

Cara Ajar Anak Membaca

Teks: Salena Shafiee Seperti kebanyakan ibu-ibu lain, saya juga teruja untuk mendidik anak sulung mengenal huruf dan membaca. Tetapi satu kerisauan saya ialah, saya tak tahu bagaimana nak mula. Saya bukanlah seorang guru, tidak mempunyai asas dalam pendidikan awal kanak-kanak, tiada pengalaman mengajar kanak-kanak seperti guru tadika waima tidak pernah pergi ke mana-mana kursus untuk mengajar anak membaca. Awal-awal dulu saya terfikir juga bagaimana cara untuk mengajar anak membaca? Setelah berkecimpung dalam bisnes edutoys dan bahan bantu mengajar ini, dan dengan sedikit bacaan daripada perkongsian mereka-mereka yang pakar dalam bidang ini seperti Puan Nik Eliani dan Puan Mastura, akhirnya saya menemui satu kaedah untuk mengajar anak membaca dengan cara yang sangat pantas, mudah dan enjoy. Kaedah bacaan ini ialah kaedah phonic iaitu kaedah bacaan secara gabung bunyi. Sebenarnya kita membaca dengan cara menggabungkan bunyian setiap huruf. Bukan menggabungkan nama huruf. Mengikut kae

Seorang saja bekerja. Cukup ke?

Teks: Salena Shafiee Suatu petang ketika kami sekeluarga sedang menikmati makan malam, suami memberitahu ada beberapa orang rakan sekerjanya yang bertanya bagaimana suami mampu survive? Punya rumah sendiri, punya kereta, menanggung dua orang anak dan isteri pula tidak bekerja. Cukup ke makan minum? Suami hanya tersenyum. Alhamdulillah kami masih hidup, masih mampu bernafas dan meneruskan kehidupan seperti biasa dengan apa yang ada. Jika ada lebih, kami makan lebih. Jika perlu berjimat mengawal perbelanjaan supaya baki wang yang ada cukup untuk kami survive sehingga ke hujung bulan, kami berjimat. Begitulah kehidupan. Jika kita bersyukur dengan apa yang ada Allah sentiasa berikan kecukupan. Jika kita rasa kita susah tetapi melihat orang lain yang pendapatannya lebih kecil mampu hidup serba cukup, mungkin ada silapnya pada kita. Samada dari segi pengurusan kewangan, kawalan perbelanjaan atau mungkin pengurusan rumahtangga. Semak semula ke mana duit kita mengalir. Kami mempunyai keleb

WAHM Tak Cukup Masa!

Teks: Salena Shafiee Masalah utama seorang ibu yang bekerja dari rumah ataupun WAHM adalah masa. Selalu juga saya baca rungutan rakan-rakan fb yang turut menjalankan bisnes dari rumah berkenaan tak cukup masa. Tak cukup masa nak homeschool anak-anak, tak cukup masa nak bermain dengan anak, tak cukup masa untuk ajar anak, tak cukup masa nak lipat kain baju, tak cukup masa nak kemas rumah, segalanya berkenaan masa. Saya juga begitu. Awal-awal penglibatan saya dengan bisnes secara online ini, rumah tunggang terbalik. Anak-anak tak terurus, masak seringkali lewat, baju tak berlipat, lantai berhabuk, pakaian suami jarang bergosok, dan saya stress sendiri. Kenapa stress ye walaupun ada juga duit yang masuk? Bila direnung-renung, difikir-fikir semula, masalah utamanya adalah pengurusan masa dan disiplin untuk terus mengikut jadual yang disediakan. Saya berterusan memperbaiki kelemahan berkenaan pengurusan masa ini. Sehingga ke hari ini masih lagi terdapat masalah berkenaan masa. Tetapi a

Bisnes. Bagaimana saya bermula?

Teks: Salena Shafiee Selepas melangsungkan perkahwinan pada awal tahun 2012, saya memilih untuk berhenti kerja kerana terpaksa mengikut suami berhijrah ke Tanjung Malim dek tuntutan kerja suami yang bekerja di UPSI. Maka, suami tiada pilihan untuk menukar lokasi tempat kerja melainkan saya sendiri yang menukar lokasi pekerjaan ke Tanjung Malim. Setelah mengambil kira segala kos jika tinggal berjauhan, kami bersetuju saya berhenti kerja dan tinggal bersama. Awal perkahwinan, saya cuba juga mencari pekerjaan tetapi tidak mendapat keizinan suami sekiranya kerja yang saya mohon itu tiada kena mengena dengan latar belakang pendidikan saya. Ikutkan hati, boleh saja saya bekerja sebagai pembantu kedai atau apa sahaja pekerjaan sambilan kerana saya tidak betah tinggal di rumah tanpa ada sesuatu yang boleh saya lakukan. Apatah lagi tanpa pendapatan setiap bulan dan tanpa sesen pun wang simpanan. Ingin memohon pekerjaan di kilang makanan (sesuai dengan kelulusan saya), lokasi terdekat terlet

Jom kita berkenalan. 😊

Bismillahirrahmanirrahim.. Assalamualaikum dan salam sejahtera buat anda yang sudi membaca perkongsian saya di blog ini. Saya Salena Shafiee, dilahirkan di Pulau Pinang dan kemudiannya dibesarkan di Batu Kurau, Perak oleh nenek saya. Saya dibesarkan oleh nenek sehingga tamat sekolah menengah. Pendidikan awal bermula di SK Kampung Gudang dan SMK Jelai, Batu Kurau. Kemudiannya saya menyambung pelajaran ke peringkat diploma dan seterusnya ijazah sarjana muda di UiTM Shah Alam dalam bidang Sains dan Teknologi Makanan Minor dalam Perundangan Makanan Islam. Saya pernah bekerja di beberapa buah syarikat swasta sebelum menamatkan zaman bujang dan menjadi surirumah sepenuh masa. Pengalaman kerja saya tidaklah banyak kerana saya memilih untuk keluar dari bidang pekerjaan setelah berkahwin. Saya pernah bekerja sebagai Juruteknik Analisis di sebuah kilang elektronik, Penasihat Kesihatan di Watson's Personal Care Store dan Juruteknik R&D di KRAFT Food Manufacturing kesemuanya di Pulau P