Skip to main content

Bisnes. Bagaimana saya bermula?

Teks: Salena Shafiee

Selepas melangsungkan perkahwinan pada awal tahun 2012, saya memilih untuk berhenti kerja kerana terpaksa mengikut suami berhijrah ke Tanjung Malim dek tuntutan kerja suami yang bekerja di UPSI. Maka, suami tiada pilihan untuk menukar lokasi tempat kerja melainkan saya sendiri yang menukar lokasi pekerjaan ke Tanjung Malim.

Setelah mengambil kira segala kos jika tinggal berjauhan, kami bersetuju saya berhenti kerja dan tinggal bersama.

Awal perkahwinan, saya cuba juga mencari pekerjaan tetapi tidak mendapat keizinan suami sekiranya kerja yang saya mohon itu tiada kena mengena dengan latar belakang pendidikan saya. Ikutkan hati, boleh saja saya bekerja sebagai pembantu kedai atau apa sahaja pekerjaan sambilan kerana saya tidak betah tinggal di rumah tanpa ada sesuatu yang boleh saya lakukan. Apatah lagi tanpa pendapatan setiap bulan dan tanpa sesen pun wang simpanan.

Ingin memohon pekerjaan di kilang makanan (sesuai dengan kelulusan saya), lokasi terdekat terletak di rawang. Setelah dikira gaji yang bakal saya dapat dan kos perjalanan pergi balik ke rawang, saya memadamkan niat saya. Lagipun saya masih kurang cekap memandu kereta ketika itu.

Setelah disahkan hamil anak pertama beberapa bulan setelah berkahwin, suami menghalang terus niat saya untuk bekerja. Rehat sahaja di rumah sehingga anak kami lahir. Saya pasrah sahaja walaupun keinginan untuk mempunyai pendapatan sendiri itu ada.

Fitrah ibu, setelah melahirkan anak pertama, keinginan untuk bekerja itu terus hilang. Tak sanggup saya tinggalkan bayi comel kami dalam jagaan orang. Mungkin disebabkan pengalaman saya sendiri yang berjauhan dengan ibu sendiri sejak kecil menyebabkan saya tak mahu anak-anak turut merasai apa yang saya rasakan dulu. Sentiasa rindukan belaian ibu. Oh, tak sanggup saya.

Kehidupan berjalan seperti biasa sehingga saya melahirkan anak kedua. Ada pasang dan surutnya. Dalam hati, saya tetap memasang impian untuk mempunyai pendapatan sendiri suatu hari nanti. Tak mudah hidup tanpa mempunyai satu sen pun wang walaupun suami cukup menyediakan tempat tinggal, makanan dan pakaian seadanya.

Saya mempunyai impian saya sendiri. Ada keinginan untuk menghulurkan wang buat ibu dan saudara-mara yang kurang mampu. Ada keinginan untuk bersedekah pada yang perlu. Ada keinginan untuk menaikkan taraf kehidupan ke tahap yang lebih baik seperti ibu-ibu bekerja yang lain.

Selama lebih 3 tahun saya ditarbiah oleh Allah dengan tekanan kewangan yang membawa kepada tekanan emosi dan perasaan. Kadangkala, hati sedih dan sayu melihat pakaian bayi yang cantik-cantik, permainan yang bermacam-macam, makanan yang sedap-sedap tapi bukan untuk anak saya. Kerana kami tidak mampu. Apa yang ada sahaja. Dengan hati yang menyimpan seribu rasa, saya terus berdoa dan bersabar dalam duka moga suatu hari nanti Allah permudahkan dan bukakan jalan buat saya. Hidup diteruskan seperti biasa.

Benarlah anak itu pembawa rezeki, dan Allah itu Maha Mendengar dan Maha Mengatur. Kelahiran anak kedua membawa rezeki buat kami sekeluarga. Sekitar bulan September 2014 beberapa bulan sebelum anak kedua kami lahir, ibu saya tiba-tiba mengadu sakit. Sakitnya yang lama berulang kembali. Hati anak mana yang sanggup melihat ibunya menanggung sakit.

Saya menghubungi seorang penjual makanan tambahan di FB. Kebetulan, kami mempunyai sedikit peruntukan untuk membeli makanan tambahan buat ibu saya. Saya terus mendaftarkan diri sebagai ahli untuk mendapatkan produk-produk makanan tambahan itu pada harga ahli nanti.

Berkat usaha untuk berbuat kebaikan kepada ibu sendiri, saya dilorongkan lagi kepada beberapa peluang untuk menjana pendapatan. Saya dimasukkan ke grup perbincangan mengenai bisnes makanan tambahan tersebut. Di situ banyak juga ilmu baru yang saya dapat. Hidup tak lagi kurang seri, yang kosong terasa terisi.

Tak lama sesudah itu iaitu pada awal tahun 2015, Allah bukakan satu lagi jalan. Saya ternampak iklan pencarian ejen untuk satu jenama minyak wangi yang terbaru di pasaran. Atas budi bicara pengasasnya, saya dapat mendaftar sebagai ejen pada modal yang minima.

Alhamdulillah, minyak wangi tersebut mendapat sambutan yang sangat menggalakkan. Hampir setahun juga saya berjualan minyak wangi secara online namun terpaksa mengambil keputusan untuk berhenti atas beberapa faktor. Antaranya, stok minyak wangi yang agak lambat disediakan sedangkan permintaan tinggi membuatkan pelanggan kurang kepercayaan kepada kami.

Hendak serius dalam bisnes makanan tambahan itu, saya berbelah bahagi. Saya ada membaca sedikit sebanyak mengenai makanan semulajadi, makanan tambahan dan ubat-ubatan. Ada pro dan kontranya produk makanan tambahan ini walaupun dikatakan produk berasaskan sumber semulajadi. Sempat juga berjualan sekadar menambah duit poket. Akhirnya saya membuat keputusan untuk berhenti kerana jiwa saya tidak selari dengan bisnes jualan langsung.

Kebetulan, upline saya ada bisnes lain selain produk makanan tambahan tersebut iaitu bisnes permainan edukatif dan bahan bantu mengajar. Saya menyatakan hasrat untuk menjadi ejennya menjual produk-produk bahan bantu mengajar tersebut.

Bermulalah episod yang baru dalam perjalanan surirumah sepenuh masa ini yang berusaha untuk mencari pendapatan sendiri. Saya mula giat berjualan produk permainan edukatif dan bahan bantu mengajar secara atas talian pada awal tahun 2016 dan masih belajar dan berusaha untuk menambah ilmu dalam bidang ini di samping mengumpul modal untuk mengembangkan lagi bisnes ini satu langkah kedepan lagi.

Selain itu, saya juga mendaftar sebagai ejen dropship dengan sebuah kedai buku online yang menjual pelbagai jenis buku juga pada awal tahun 2016. Saya lebih fokuskan kepada buku-buku kanak-kanak, keibubapaan, agama, dan motivasi. Tujuan saya cuma satu, supaya Sekurang-kurangnya saya dapat menanamkan kesedaran dan menyuntik minat membaca di kalangan rakan-rakan maya saya dengan bahan bacaan yang bermanfaat.

Banyak juga cabaran dan pengalaman saya tempuh dan kutip sepanjang menceburkan diri dalam perniagaan permainan edukatif, bahan bantu mengajar dan perniagaan menjual buku walaupun sekadar menjadi ejen dropship.

Saya bersyukur walaupun pencapaian saya masih jauh jika nak dibandingkan dengan ibu-ibu lain yang mempunyai pendapatan sehingga 5 angka sebulan, sekurang-kurangnya saya masih boleh terus berusaha. Tiada lagi rasa bersalah, rendah diri dan tak berupaya seperti dulu. Semuanya atas izin dan aturan Allah jua.

Semoga lebih ramai suri rumah yang bangun dan berusaha mengangkat taraf hidup mereka ke satu aras lebih baik dari sebelumnya. Saya ada impian untuk membantu suri rumah yang sifar pendapatan. Nanti saya kongsikan di entry lain. 😊

Comments

Popular posts from this blog

Anak Yang Belum Pandai Membaca Pun Pandai Guna Whatsapp Call

Malam kelmarin ibu keluar sekejap temankan paksu di wad. Memang setiap kali nak keluar, ibu kena tunggu adik tidur dulu barulah ibu boleh ke wad. Kalau tak, pecahlah keheningan malam di anjung kasih tu dek tangisan nyaring adik. Tak sampai 2 jam di wad, skrin handphone ibu menyala-nyala. Panggilan whatsapp voice call dari Tok. Wah, adik dah bangun ke? Biasanya kalau adik bangun, adik menangis cari ibu. Tok akan call suruh ibu balik. Sebabnya adik ni jenis yang susah dipujuk. Rupanya dah banyak kali ada missed voice call dari nombor tok. Ibu pun angkat phone call tu, "hello assalamualaikum. Awat mak, adik nangis ke?". Suara adik yang jawab, "ibu..." teresak-esak menangis. Dah banyak kali rupanya adik call ibu. Bila ibu cakap, adik pun mulalah menangis lagi kuat. Tok cakap adik sebak dah tak boleh nak cakap dah. Sambil pujuk adik, ibu bagi tahu paksu yang ibu kena balik. Adik dah menangis. Kesian kat paksu, dik. Kata tok, rupanya dari tadi lagi adik call ibu. Tok d

Anakku Guruku

Anak adalah guru. Sering kita dengar, ibu adalah guru pertama anak. Ini benar. Seorang ibu memang merupakan guru pertama anak-anaknya. Apabila mendapat anak pertama, saya sedar, anak inilah bakal menjadi guru saya yang mengajar saya menjadi seorang ibu. Saya tak pernah tahu mengenai ilmu kelahiran, disebabkan pengalaman trauma melahirkannya, mengajar saya mendalami ilmu mengenai kelahiran. Cara melahirkan yang lebih mudah dan tidak menyakitkan. Saya tak pernah tahu mengenai ilmu penyusuan. Tak pernah bayangkan pun yang akhirnya saya akan menyusukan anak. Disebabkan kesusahan saya untuk menyusukannya, saya dalami ilmu penyusuan. Rupanya ada ibu-ibu yang tak mampu menyusukan anak sesudah lahirnya anak ke dunia. Rupanya masalah flat nipple/inverted nipple itu wujud. Baru saya tahu. Saya tak pernah tahu cara mengendalikan si tubuh kecil ini. Tangan saya keras, tak pernah saya jaga seorang bayi walaupun adik sendiri. Dia mengajar saya cara mendukungnya, cara memandikannya, cara menghib

Ragam Ibu Melepaskan Anak Bersekolah

Setelah berkahwin, saya tak pernah lagi keluar bekerja di luar. Apabila anak kami lahir, saya memberikan sepenuh perhatian kepadanya. Tak pernah berjauhan langsung dengannya. Hubungan kami sangat rapat. Kasih di hati juga sangat kuat. Dari kecil saya menyusukannya dengan susu badan sepenuhnya, segala-gala untuknya saya lakukan sendiri dengan tangan saya. Saya mahu dia terus merasakan kasih sayang saya mengalir dalam dirinya. Disebabkan itu, beberapa bulan sebelum anak sulung saya bersekolah, saya sangat risau sehingga terasa seolah-olah akan kehilangannya, hilang kasih sayang dan cintanya. Risau tumpuannya akan beralih kepada kawan-kawannya dan cikgu-cikgunya. Ikutkan hati, mahu saja saya homeschool anak saya ini. Biar dia sentiasa berada di depan mata saya. Namun, sedar kekurangan diri dari segi sumber dan kewangan, saya terpaksa merelakan dan melepaskan juga anak saya ini ke dalam jagaan cikgu-cikgunya di sekolah. Selain itu, saya turut risau anak saya akan ketinggalan kerana pe