Skip to main content

Seorang saja bekerja. Cukup ke?

Teks: Salena Shafiee

Suatu petang ketika kami sekeluarga sedang menikmati makan malam, suami memberitahu ada beberapa orang rakan sekerjanya yang bertanya bagaimana suami mampu survive? Punya rumah sendiri, punya kereta, menanggung dua orang anak dan isteri pula tidak bekerja. Cukup ke makan minum? Suami hanya tersenyum.

Alhamdulillah kami masih hidup, masih mampu bernafas dan meneruskan kehidupan seperti biasa dengan apa yang ada. Jika ada lebih, kami makan lebih. Jika perlu berjimat mengawal perbelanjaan supaya baki wang yang ada cukup untuk kami survive sehingga ke hujung bulan, kami berjimat.

Begitulah kehidupan. Jika kita bersyukur dengan apa yang ada Allah sentiasa berikan kecukupan. Jika kita rasa kita susah tetapi melihat orang lain yang pendapatannya lebih kecil mampu hidup serba cukup, mungkin ada silapnya pada kita. Samada dari segi pengurusan kewangan, kawalan perbelanjaan atau mungkin pengurusan rumahtangga. Semak semula ke mana duit kita mengalir.

Kami mempunyai kelebihan bila saya tidak bekerja. Banyak faktor yang boleh dikira menjimatkan pendapatan seluruh keluarga bila isteri tidak bekerja.

Pertamanya, kami tidak makan diluar. Semuanya saya masak sendiri. Setiap hujung minggu kami akan ke pasaraya membeli makananan basah seperti ayam, ikan, sayur-sayuran dan buah-buahan yang cukup untuk tempoh seminggu. Jika dibandingkan dengan kos membeli makanan siap, masak sendiri jauh lebih murah.

Kedua, saya menjaga anak-anak sendiri. Sudah tidak perlu mengeluarkan wang setiap bulan untuk dibayar kepada pengasuh. Sudah jimat beberapa ratus. Hati pun senang kerana keselamatan, makan minum dan kebersihan anak terjamin.

Ketiga, anak-anak kami tidak diberikan susu formula. Alhamdulillah semuanya dibesarkan dengan susu badan. Tidak perlu mengeluarkan wang beratus-ratus sebulan semata-mata untuk membeli susu formula. Kesihatan anak-anak turut terjamin. Alhamdulillah anak-anak kami sangat jarang dijangkiti selsema, batuk ataupun demam.

Selain itu, kami tidak biasa membeli makanan ringan dan jajan untuk anak-anak. Saya dan suami berazam untuk tidak membiasakan anak-anak dengan makanan ringan seperti keropok, gula, jeli yang penuh dengan pewarna, pengawet, gupa dan garam yang tinggi kandungannya. Bukanlah tidak diberi langsung, tetapi sangat jarang. Sekadar roti, biskut, kek dan aiskrim sahaja. Tiada gula-gula, ataupun air berkarbonat yang tidak mengenyangkan dan tidak menyihatkan.

Kami tidak bermewah dengan pakaian. Tiada shopping untuk pakaian setiap bulan. Apa yang ada pakai sahaja selagi masih cantik dan elok. Lagipun saya tidak kemana, hanya sesekali ke kenduri ataupun ke shopping mall, ataupun pulang ke kampung. Setakat mahu ke pasaraya membeli keperluan, cukup sekadar berpakaian kasual dan simple sahaja. Begitu juga anak-anak. Pakaian yang selesa, tidak fancy tiada bling-bling. Pada saya, anak-anak fitrahnya aktif, mereka hanya perlukan keselesaan dalam pemakaian. Hanya nafsu ibu bapa sahaja yang mahu menghias anak-anak dengan pakaian yang mirip pakaian orang dewasa yang pada saya sangat tidak selesa sesetengah material ataupun rekaannya. Nafsu mahu anak dilihat comel dan cantik. Tidak salah jika ternyata  mampu, kerana saya cuma berkongsi bagaimana kami menjimatkan perbelanjaan.

Tiada permainan yang kami rasa tidak diperlukan untuk anak-anak. Kami sangat memilih permainan yang mahu diberikan kepada anak-anak. Tiada ultraman, power rangers, pistol mahupun pedang. Tiada juga tablet/gejet khusus untuk mereka gunakan. Apa yang perlu dan baik untuk perkembangan mereka sahaja dibeli. Ini juga salah satu sebab kenapa saya berkecimpung dalam bisnes menjual permainan edukatif dan buku kanak-kanak.

Sedikit sebanyak, apa yang saya usahakan sekarang juga turut membantu. Walaupun tidak banyak sekurang-kurangnya saya sudah boleh menyediakan permainan dan bahan bacaan yang baik untuk anak-anak dan diri sendiri. Selebihnya, suami juga banyak berjimat. Biasalah lelaki, segala kesusahannya tidak mungkin diberitahu selagi dirasakan masih mampu diuruskan.

Apa pun, kunci kecukupan itu terletak pada sabar, syukur, doa dan usaha. Bukankah Allah sudah janjikan dalam surah Ibrahim ayat yang ketujuh, "Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu memaklumkan, "sesungguhnya jika kamu bersyukur, nescaya Aku akan menambah (nikmat) kepadamu, tetapi jika kamu mengingkari (nikmat-Ku), maka pasti azab-Ku sangat berat".

Tidak perlulah difikirkan bagaimana orang mampu hidup dengan tanggungan kewangan yang besar walaupun pendapatannya tidak seberapa. Lihat diri sendiri bagaimana kita uruskan kehidupan kita. Jika perlukan penambahbaikan, mohonlah doa dan usahakannya.

Comments

Popular posts from this blog

Anak Yang Belum Pandai Membaca Pun Pandai Guna Whatsapp Call

Malam kelmarin ibu keluar sekejap temankan paksu di wad. Memang setiap kali nak keluar, ibu kena tunggu adik tidur dulu barulah ibu boleh ke wad. Kalau tak, pecahlah keheningan malam di anjung kasih tu dek tangisan nyaring adik. Tak sampai 2 jam di wad, skrin handphone ibu menyala-nyala. Panggilan whatsapp voice call dari Tok. Wah, adik dah bangun ke? Biasanya kalau adik bangun, adik menangis cari ibu. Tok akan call suruh ibu balik. Sebabnya adik ni jenis yang susah dipujuk. Rupanya dah banyak kali ada missed voice call dari nombor tok. Ibu pun angkat phone call tu, "hello assalamualaikum. Awat mak, adik nangis ke?". Suara adik yang jawab, "ibu..." teresak-esak menangis. Dah banyak kali rupanya adik call ibu. Bila ibu cakap, adik pun mulalah menangis lagi kuat. Tok cakap adik sebak dah tak boleh nak cakap dah. Sambil pujuk adik, ibu bagi tahu paksu yang ibu kena balik. Adik dah menangis. Kesian kat paksu, dik. Kata tok, rupanya dari tadi lagi adik call ibu. Tok d

Anakku Guruku

Anak adalah guru. Sering kita dengar, ibu adalah guru pertama anak. Ini benar. Seorang ibu memang merupakan guru pertama anak-anaknya. Apabila mendapat anak pertama, saya sedar, anak inilah bakal menjadi guru saya yang mengajar saya menjadi seorang ibu. Saya tak pernah tahu mengenai ilmu kelahiran, disebabkan pengalaman trauma melahirkannya, mengajar saya mendalami ilmu mengenai kelahiran. Cara melahirkan yang lebih mudah dan tidak menyakitkan. Saya tak pernah tahu mengenai ilmu penyusuan. Tak pernah bayangkan pun yang akhirnya saya akan menyusukan anak. Disebabkan kesusahan saya untuk menyusukannya, saya dalami ilmu penyusuan. Rupanya ada ibu-ibu yang tak mampu menyusukan anak sesudah lahirnya anak ke dunia. Rupanya masalah flat nipple/inverted nipple itu wujud. Baru saya tahu. Saya tak pernah tahu cara mengendalikan si tubuh kecil ini. Tangan saya keras, tak pernah saya jaga seorang bayi walaupun adik sendiri. Dia mengajar saya cara mendukungnya, cara memandikannya, cara menghib

Ragam Ibu Melepaskan Anak Bersekolah

Setelah berkahwin, saya tak pernah lagi keluar bekerja di luar. Apabila anak kami lahir, saya memberikan sepenuh perhatian kepadanya. Tak pernah berjauhan langsung dengannya. Hubungan kami sangat rapat. Kasih di hati juga sangat kuat. Dari kecil saya menyusukannya dengan susu badan sepenuhnya, segala-gala untuknya saya lakukan sendiri dengan tangan saya. Saya mahu dia terus merasakan kasih sayang saya mengalir dalam dirinya. Disebabkan itu, beberapa bulan sebelum anak sulung saya bersekolah, saya sangat risau sehingga terasa seolah-olah akan kehilangannya, hilang kasih sayang dan cintanya. Risau tumpuannya akan beralih kepada kawan-kawannya dan cikgu-cikgunya. Ikutkan hati, mahu saja saya homeschool anak saya ini. Biar dia sentiasa berada di depan mata saya. Namun, sedar kekurangan diri dari segi sumber dan kewangan, saya terpaksa merelakan dan melepaskan juga anak saya ini ke dalam jagaan cikgu-cikgunya di sekolah. Selain itu, saya turut risau anak saya akan ketinggalan kerana pe