Skip to main content

Sukar Untuk Memahami Selagi Belum Merasai

Benarlah, kita tak akan faham rasa yang dialami oleh orang lain selagi kita tidak berada dalam situasi yang sama dengan mereka. Saat ini usah ucapkan kata-kata memohon sabar. Hulurkanlah bantuan semampu kita. Bantuan kewangan juga amat membantu.

Selalunya saya berbahagia di rumah menguruskan isi rumah dan anak-anak. Tidak memikirkan hal lain kerana hidup saya sudah sempurna rasanya. Bahagia dapat bersenang-lenang di rumah melakukan apa sahaja yang saya suka.

Dalam sekelip mata tanpa sempat membuat perancangan apa-apa, kami sekeluarga menerima perkhabaran bencana. Adik saya kemalangan dalam perjalanan dari rumah saya untuk pulang ke Pulau Pinang. Kami perlu bergegas ke hospital ipoh.

Hari pertama, kami sekeluarga menunggu sahaja di kawasan menunggu di kaki lima hospital. Semuanya punya anak kecil yang turut dibawa bersama. Tiada persediaan apa-apa. Mak dan adik saya tiba seawal jam 4 pagi di hospital. Tanpa sempat memikirkan makan dan membersihkan diri.

Masing-masing menunggu adik saya ditolak ke dewan bedah pada pukul 2 petang. Adik saya ditolak ke dewan bedah dengan diiringi doa dan air mata. Kami menunggu lagi sehingga pembedahan selesai pada pukul 5.30 petang. Alhamdulillah pembedahan selesai dengan selamat.

Kerenah keselamatan hospital, yang menetapkan waktu melawat tamat pada pukul 6.30 petang membuatkan kami terpaksa akur meninggalkan adik saya keseorangan tanpa diberitahu rupanya seorang ahli keluarga boleh menunggu pesakit di wad.

Tak apalah, mak dan adik saya perlukan rehat. Kami mencari hotel murah buat bermalam dan merehatkan badan. Kami daftar masuk ke sebuah hotel yang tidak jauh dari hospital dengan bayaran rm98 semalam. Esok perlu cari penginapan yang lebih murah.

Saya pulang semula ke tanjung malim kerana suami perlu bekerja keesokan harinya. Malam itu adik saya pergi juga ke hospital untuk menemani adik saya yang baru selesai dibedah siangnya. Barulah kami tahu rupanya seorang ahli keluarga dibenarkan menunggu.

Pada awalnya, emak saya bertanyakan doktor untuk memindahkan adik saya ke hospital lain yang lebih dekat dengan rumah. Emak, abang dan adik saya tinggal di Pulau Pinang manakala saya pula di Tanjung Malim. Memang di luar kemampuan kami untuk berulang-alik dari rumah ke ipoh setiap hari. Namun doktor pakar yang memantaunya menolak dan memberitahu akan memantau adik saya sehingga stabil dan boleh berpindah ke wad rehabilitasi. Sekiranya sudah boleh berpindah ke wad rehabilitasi barulah adik saya boleh ditukarkan ke hospital lain yang lebih dekat dengan rumah.

Esoknya kami berbincang dengan semua ahli keluarga mengenai penginapan. Mujurlah ibu saudara saya punyai sebuah rumah kosong yang dalam proses untuk dijual. Dia menyuruh mak dan ahli keluarga yang lain menggunakan rumahnya sementara belum bertukar hak milik. Alhamdulillah selesai satu masalah. Ahli keluarga yang datang dari jauh akan menginap di rumah itu.

Masuk minggu kedua, mak saya ditawarkan untuk menginap di anjung kasih. Apabila mak saya berpindah masuk ke anjung kasih, saya meminta izin daripada suami untuk sama-sama bergilir menjaga adik di wad. Walaupun tidaklah setiap hari saya berpeluang menjaganya kerana kerenah si kecil yang masih menyusu badan yang turut saya bawa bersama, namun saya harap kehadiran saya menemani dapat mengurangkan rasa susah hati yang ditanggung mak saya.

Anjung kasih merupakan projek Yayasan Kebajikan Negara dan ada di kesemua hospital besar. Ianya dibina khusus untuk ahli keluarga pesakit yang tinggal jauh dari hospital dan kes yang dijangka berada lama di hospital. Juga untuk yang kurang berkemampuan. Pentingnya adanya projek sebegini. Memang ramai keluarga yang memerlukannya.

Kemudahan juga memuaskan. Surau, ruang makan, mesin basuh, ruang menonton tv, ampaian, kesemuanya memuaskan hati dengan bayaran wang cagaran yang akan dipulangkan semula apabila kami keluar dari sini nanti.

Walaupun terpaksa berjalan agak jauh kira-kira hampir 400 meter, namun itu sudah seribu rahmat buat kami. Makcik pakcik termasuklah mak saya tidaklah mampu berjalan berulang-alik setiap hari dengan jarak begini. Golongan emas ini akan cepat sakit kaki. Namun demi insan yang disayangi, dilupakan sahaja ketidakselesaan diri. Asalkan ada tempat berlindung untuk tempoh yang tidak pasti berapa lama lagi. Ada seorang pakcik, sudah 7 bulan anjung kasih ini menjadi rumah keduanya, dan tidak pasti untuk berapa lama lagi.

Hospimart yang ada walaupun membantu, tetapi boleh juga buat kami cepat mati dek sakit jantung atau darah tinggi. Harganya bukan boleh tahan mahal. Tetapi memang mahal. Namun itu sahaja minimart berdekatan yang kami tahu. Ada sesetengah barang yang memang diperlukan segera kami beli juga.

Kafeteria pula saya agak berpuas hati. Harganya sama sahaja dengan kedai makan di luar. RM4 untuk sepinggan nasi ayam, RM4-RM5 untuk sepinggan nasi goreng. Cuma, menunya sahaja agak mengecewakan saya yang agak suka makan sayur-sayuran. Sayur-sayuran yang saya jumpa hanyalah sepotong timun dalam sepinggan nasi goreng, nasi ayam, ataupun nasi lemak. Ada satu gerai yang menjual nasi kandar yang menjual kubis goreng ala mamak. Kubis goreng dan timun sahaja sayurnya.

Sudah sebulan kami di sini. Sudah berbagai-bagai kerenah petugas-petugas di hospital kami perhati dan teliti. Pesakit keluar masuk bertukar-tukar penghuni katil. Ahli keluarga yang menunggu pun bertukar-tukar orangnya. Sempat saya berkenalan dengan seorang makcik yang sangat merendah diri. Adik saya pula masih lagi di sini.

Bila melintasi laluan kaki lima hospital untuk naik ke wad, kelihatan di bangku-bangku kerusi ada ahli keluarga yang sabar menunggu bersama beg-beg pakaian sambil berdoa mengharapkan yang terbaik buat insan yang disayang. Berdoalah... Saya sangat memahami rasa itu.

Sebulan yang lalu, kami pernah berada dalam situasi yang sama seperti insan-insan ini. Tanpa apa-apa persediaan yang cukup, kami menunggu dan turut sama mengharapkan yang terbaik buat insan yang kami sayangi.

Permudahkan urusan mereka ya Allah... Ringankan ujianMu buat mereka... Berikan kesembuhan kepada insan-insan yang sedang mereka nanti...

Comments

Popular posts from this blog

Anak Yang Belum Pandai Membaca Pun Pandai Guna Whatsapp Call

Malam kelmarin ibu keluar sekejap temankan paksu di wad. Memang setiap kali nak keluar, ibu kena tunggu adik tidur dulu barulah ibu boleh ke wad. Kalau tak, pecahlah keheningan malam di anjung kasih tu dek tangisan nyaring adik. Tak sampai 2 jam di wad, skrin handphone ibu menyala-nyala. Panggilan whatsapp voice call dari Tok. Wah, adik dah bangun ke? Biasanya kalau adik bangun, adik menangis cari ibu. Tok akan call suruh ibu balik. Sebabnya adik ni jenis yang susah dipujuk. Rupanya dah banyak kali ada missed voice call dari nombor tok. Ibu pun angkat phone call tu, "hello assalamualaikum. Awat mak, adik nangis ke?". Suara adik yang jawab, "ibu..." teresak-esak menangis. Dah banyak kali rupanya adik call ibu. Bila ibu cakap, adik pun mulalah menangis lagi kuat. Tok cakap adik sebak dah tak boleh nak cakap dah. Sambil pujuk adik, ibu bagi tahu paksu yang ibu kena balik. Adik dah menangis. Kesian kat paksu, dik. Kata tok, rupanya dari tadi lagi adik call ibu. Tok d

Anakku Guruku

Anak adalah guru. Sering kita dengar, ibu adalah guru pertama anak. Ini benar. Seorang ibu memang merupakan guru pertama anak-anaknya. Apabila mendapat anak pertama, saya sedar, anak inilah bakal menjadi guru saya yang mengajar saya menjadi seorang ibu. Saya tak pernah tahu mengenai ilmu kelahiran, disebabkan pengalaman trauma melahirkannya, mengajar saya mendalami ilmu mengenai kelahiran. Cara melahirkan yang lebih mudah dan tidak menyakitkan. Saya tak pernah tahu mengenai ilmu penyusuan. Tak pernah bayangkan pun yang akhirnya saya akan menyusukan anak. Disebabkan kesusahan saya untuk menyusukannya, saya dalami ilmu penyusuan. Rupanya ada ibu-ibu yang tak mampu menyusukan anak sesudah lahirnya anak ke dunia. Rupanya masalah flat nipple/inverted nipple itu wujud. Baru saya tahu. Saya tak pernah tahu cara mengendalikan si tubuh kecil ini. Tangan saya keras, tak pernah saya jaga seorang bayi walaupun adik sendiri. Dia mengajar saya cara mendukungnya, cara memandikannya, cara menghib

Ragam Ibu Melepaskan Anak Bersekolah

Setelah berkahwin, saya tak pernah lagi keluar bekerja di luar. Apabila anak kami lahir, saya memberikan sepenuh perhatian kepadanya. Tak pernah berjauhan langsung dengannya. Hubungan kami sangat rapat. Kasih di hati juga sangat kuat. Dari kecil saya menyusukannya dengan susu badan sepenuhnya, segala-gala untuknya saya lakukan sendiri dengan tangan saya. Saya mahu dia terus merasakan kasih sayang saya mengalir dalam dirinya. Disebabkan itu, beberapa bulan sebelum anak sulung saya bersekolah, saya sangat risau sehingga terasa seolah-olah akan kehilangannya, hilang kasih sayang dan cintanya. Risau tumpuannya akan beralih kepada kawan-kawannya dan cikgu-cikgunya. Ikutkan hati, mahu saja saya homeschool anak saya ini. Biar dia sentiasa berada di depan mata saya. Namun, sedar kekurangan diri dari segi sumber dan kewangan, saya terpaksa merelakan dan melepaskan juga anak saya ini ke dalam jagaan cikgu-cikgunya di sekolah. Selain itu, saya turut risau anak saya akan ketinggalan kerana pe