Skip to main content

Terangkan dan Beri Tunjuk Ajar Kepada Anak Dengan Baik

Ibu tuangkan teh o yang baru ibu bancuh ke dalam cawan dan ibu letakkan di lantai. Nak sejukkan sebelum boleh diminum. Adik dengan perut yang kekenyangan seronok baring di ribaan ibu. Sengaja menolak apa sahaja yang dapat dicapai dengan kakinya. Ibu dah pesan, "kaki taknak tolak-tolak macam tu adik.. Kaki letak bawah." Seronok agaknya hingga terlupa teh o panas yang berada di hujung kaki turut ditolaknya tanpa sengaja.
Ibu marah. Ibu ambil kain dan lap tumpahan teh o panas itu. Mujurlah tak terkena kaki adik. Adik senyap, tahu dirinya telah melalukan kesalahan. Adik tengok sahaja apa yang ibu buat. Sesudah mengelap tumpahan teh o, ibu tuang pula air mineral ke lantai. Adik buat muka terkejut dan keliru. Hairan agaknya, kenapa adik tak sengaja tumpahkan air ibu marah. Ibu sengaja tuang air takpa pula?
Ibu gelak. Ibu terangkan kat adik, "tadi air teh yang tumpah tu manis adik.. melekit.. kena bilas dengan air masak ni pula. Baru hilang rasa melekit tu. Baru semut tak datang". Baru adik nampak ok. Kalau tak, ketat muram je muka kena marah.
Tiga hari lepas, ketika sedang memesan nasi ayam di kafeteria, Afif terus ke peti ais dan menyuruh ibu mengambil susu kotak perisa strawberi. Ibu capai satu kotak dan hulur kepada Afif. Terus dibuka dan diminumnya sampai habis. Belum bayar pun lagi. Ayahnya sudah nampak tidak berpuas hati.
Kotak sudah kosong, Afif berpusing ke kiri ke kanan. Lalu dibuangnya kotak susu yang kosong itu ke lantai. Ayah yang memang sudah tidak berpuas hati dari tadi terus memarahi Afif.  Ibu tengok riak wajah Afif yang terkejut bercampur malu. Ibu suruh Afif ambil kotak susu tadi dan ibu tunjukkan tong sampah. Ibu bawa Afif ke tong sampah dan meminta Afif membuangnya ke dalam tong sampah. Afif akur. Laju sahaja dia menuju ke tong sampah apabila tahu lokasinya.
Ayahnya tak faham... Afif bukan sengaja membuang kotak susu ke lantai. Tetapi kerana tak tahu di mana mahu letakkannya. Dia berpusing ke kiri ke kanan mencari tong sampah tapi tak kelihatan di matanya. Memang selalunya ibu akan minta Afif buangkan sampah ke dalam tong sampah apabila kami keluar ke mana-mana. Di rumah pun Afif dan adiknya sudah dilatih menggunakan tong sampah.
Apabila anak melakukan kesilapan, jangan cepat bersuara marah. Mereka melakukan kesilapan kerana mereka tidak tahu dan perlu ditunjuk ajar. Tugas ibu bapalah untuk memberi tunjuk ajar. Bukan semudah memarahi semata-mata.
Apabila anak tidak tahu, ibu bapa terangkan, ibu bapa bantu. Kefahaman tak akan diraih tanpa penerangan.
Kedua-dua situasi ini walaupun nampak kecil, sebenarnya memberi kesan besar terhadap emosi anak-anak. Situasi adik tak sengaja tumpahkan teh o panas,  jika tidak diberi penjelasan kenapa ibu tuang air masak ke lantai, adik akan keliru sebenarnya tumpahkan air ni betul atau salah? Situasi Afif membuang kotak susu ke lantai, jika ibu tak cepat membantu, Afif akan terus membatu kerana terkejut dan malu dimarahi ayahnya hanya kerana dia tak tahu dimana letaknya tong sampah.

Comments

Popular posts from this blog

Anak Yang Belum Pandai Membaca Pun Pandai Guna Whatsapp Call

Malam kelmarin ibu keluar sekejap temankan paksu di wad. Memang setiap kali nak keluar, ibu kena tunggu adik tidur dulu barulah ibu boleh ke wad. Kalau tak, pecahlah keheningan malam di anjung kasih tu dek tangisan nyaring adik. Tak sampai 2 jam di wad, skrin handphone ibu menyala-nyala. Panggilan whatsapp voice call dari Tok. Wah, adik dah bangun ke? Biasanya kalau adik bangun, adik menangis cari ibu. Tok akan call suruh ibu balik. Sebabnya adik ni jenis yang susah dipujuk. Rupanya dah banyak kali ada missed voice call dari nombor tok. Ibu pun angkat phone call tu, "hello assalamualaikum. Awat mak, adik nangis ke?". Suara adik yang jawab, "ibu..." teresak-esak menangis. Dah banyak kali rupanya adik call ibu. Bila ibu cakap, adik pun mulalah menangis lagi kuat. Tok cakap adik sebak dah tak boleh nak cakap dah. Sambil pujuk adik, ibu bagi tahu paksu yang ibu kena balik. Adik dah menangis. Kesian kat paksu, dik. Kata tok, rupanya dari tadi lagi adik call ibu. Tok d

Anakku Guruku

Anak adalah guru. Sering kita dengar, ibu adalah guru pertama anak. Ini benar. Seorang ibu memang merupakan guru pertama anak-anaknya. Apabila mendapat anak pertama, saya sedar, anak inilah bakal menjadi guru saya yang mengajar saya menjadi seorang ibu. Saya tak pernah tahu mengenai ilmu kelahiran, disebabkan pengalaman trauma melahirkannya, mengajar saya mendalami ilmu mengenai kelahiran. Cara melahirkan yang lebih mudah dan tidak menyakitkan. Saya tak pernah tahu mengenai ilmu penyusuan. Tak pernah bayangkan pun yang akhirnya saya akan menyusukan anak. Disebabkan kesusahan saya untuk menyusukannya, saya dalami ilmu penyusuan. Rupanya ada ibu-ibu yang tak mampu menyusukan anak sesudah lahirnya anak ke dunia. Rupanya masalah flat nipple/inverted nipple itu wujud. Baru saya tahu. Saya tak pernah tahu cara mengendalikan si tubuh kecil ini. Tangan saya keras, tak pernah saya jaga seorang bayi walaupun adik sendiri. Dia mengajar saya cara mendukungnya, cara memandikannya, cara menghib

Ragam Ibu Melepaskan Anak Bersekolah

Setelah berkahwin, saya tak pernah lagi keluar bekerja di luar. Apabila anak kami lahir, saya memberikan sepenuh perhatian kepadanya. Tak pernah berjauhan langsung dengannya. Hubungan kami sangat rapat. Kasih di hati juga sangat kuat. Dari kecil saya menyusukannya dengan susu badan sepenuhnya, segala-gala untuknya saya lakukan sendiri dengan tangan saya. Saya mahu dia terus merasakan kasih sayang saya mengalir dalam dirinya. Disebabkan itu, beberapa bulan sebelum anak sulung saya bersekolah, saya sangat risau sehingga terasa seolah-olah akan kehilangannya, hilang kasih sayang dan cintanya. Risau tumpuannya akan beralih kepada kawan-kawannya dan cikgu-cikgunya. Ikutkan hati, mahu saja saya homeschool anak saya ini. Biar dia sentiasa berada di depan mata saya. Namun, sedar kekurangan diri dari segi sumber dan kewangan, saya terpaksa merelakan dan melepaskan juga anak saya ini ke dalam jagaan cikgu-cikgunya di sekolah. Selain itu, saya turut risau anak saya akan ketinggalan kerana pe