Skip to main content

Suami Isteri Tua

Isteri, berbuat baiklah kepada suami. Suami, berbuat baiklah kepada isteri.

Isteri, jagalah diri. Suami, jagalah diri. Jagalah kesihatan masing-masing.

Jika dipanjangkan umur, bila tua nanti, kalian saling memerlukan, saling bergantungan. Tiada yang paling dekat akan setia meneman menghulur bantuan selain pasangan.

Antara cebisan kisah hidup yang direnungi di hospital semalam.

---

MAKCIK 1

Ramah benar menegur mak saya ketika kami menunggu di kerusi di jabatan kecemasan. Umurnya pertengahan 60-an. Sedang menunggu suaminya yang sedang diperiksa di wad kecemasan dek luka kemerahan kaki suaminya kerana menghidap kencing manis.

Mereka datang ke hospital ditemani anak saudaranya. Suaminya berusia lebih 70 tahun tapi masih kuat bekerja. Selepas bersara, pernah mengusahakan penternakan lembu namun tak begitu menjadi. Kemudian diusahakan pula menanam sawit dan terus mengerjakan ladang sawitnya sehingga sekarang.

20 tahun lalu, suaminya diserang sakit jantung. Katanya, doktor hanya  memberi jaminan 50-50 yang suaminya akan survive. Alhamdulillah sehingga hari ini suaminya masih mampu membanting tulang mencari nafkah buat meneruskan kehidupan mereka sekeluarga. Namun setelah beberapa tahun, suaminya disahkan menghidap kencing manis.

Anak mereka 3 orang kesemuanya perempuan. Yang paling bongsu baru sahaja menamatkan pengajian di sebuah kolej matrikulasi di utara. Semuanya ada urusan dan kepentingan masing-masing untuk dilaksanakan.

Setianya dan sayangnya makcik ini kepada suaminya memang terserlah.  Ke hulu ke hilir. Sekejap ke farmasi mengambil ubat. Sekejap masuk ke wad kecemasan menjenguk suaminya. Sekejap ke kaunter hasil untuk menguruskan pendaftaran masuk ke wad. Sekejap ke kantin mengalas perut. Jauh juga jarak antara kantin dan tempat kami menunggu.

Bila dimaklumkan yang suaminya akan ditahan di wad, dia mula berkira-kira barang-barang keperluan yang perlu disediakan buat suaminya. Bila suaminya mahu ditolak ke wad, dia turut mengiringi. Dari caranya berjalan, makcik ini seperti sedang menanggung sakit lutut. Sakit biasa yang dialami wanita berumur yang berlebihan berat badan.

Dari pagi hingga ke petang makcik ini menunggu. Petangnya ketika saya masuk ke wad membawa makanan untuk adik, kami bertembung di pintu masuk wad lelaki. Katanya suaminya tak membenarkan dia menemani kerana anak-anaknya yang kesemuanya perempuan berada di rumah. Risau nak ditinggalkan malam-malam walaupun kesemuanya sudah besar panjang.

---

ACI 1

Malamnya saya dan mak ke wad semula untuk menyuap makanan dan menemani adik seketika. Juga untuk memastikan dia dalam keadaan yang ok.  Setelah selesai menyuap makanan, meletakkan lapik di belakang, dan membetulkan posisi baringannya, kami duduk berbual seketika.

Di sebelah katil ada sepasang suami isteri berbangsa india. Mulanya saya tak tahu apa masalah kesihatan suaminya kerana nampak  suaminya boleh bergerak macam biasa. Sekejap baring di katil, sekejap duduk bersandar di kerusi.

Bila suaminya naik berbaring di katil, dia menghampiri kami. Menegur bertanyakan masalah adik saya. Setelah menjelaskan lebih kurang keadaan adik, saya bertanyakan pula keadaan suaminya.

Katanya suaminya menghidap masalah tiroid. Awalnya doktor tak dapat kenalpasti suaminya menghidap masalah tiroid. Jadi ubat yang diberi pun tak berkesan. Suaminya jadi makin teruk bermula bulan 2 yang lepas. Terus dimasukkan ke HKL. 2 minggu dia menjaga suaminya di sana.

Ketika di HKL, anak-anaknya dijaga oleh ibu mertua. Anak-anaknya 3 orang dan masih kecil kesemuanya. 10 tahun, 7 dan 5 tahun. Tak pernah berpisah jauh dari dia dan suami. Setelah 2 minggu, ibu mertuanya pula dimasukkan ke wad. Penat agaknya menjaga cucu-cucu.

Menangis dia mengenangkan anak-anaknya. Dimintanya pada doktor untuk memindahkan suaminya ke hospital ini supaya mudah untuk dia berulang-alik dari rumah ke hospital. Lagipun dia perlu bekerja dan anaknya perlu bersekolah.

Sudah 8 kali suaminya dimasukkan ke wad semenjak bulan 2 yang lalu. Sehari dua pulang ke rumah, kemudian seminggu pula terpaksa berada di wad. Begitulah rutinnya selama hampir 6 bulan.

Nampak benar dia keletihan. Namun masih dia gagahi jua berulang-alik menjaga suami, anak-anak yang bersekolah dan bekerja. Mujurlah dia masih diberikan kesihatan yang baik.

---

MAKCIK 2

Makcik yang ini saya kenal semasa berada di hospital ipoh. Dia dan suaminya kedua-duanya pesara kerajaan. Dari segi kewangan, nampaknya tiada masalah. Katanya anak lelakinya telah berkahwin dan bekerja di Johor. Anaknya yang perempuan berusia lewat 20-an belum berkahwin.

Sebelum ini anak perempuannya bekerja di Shah Alam. Setelah suaminya sakit, makcik ini memanggil anaknya pulang menjaga dia dan suaminya. "Tak apa" katanya, "perbelanjaan mak tanggung, nak apa-apa minta sahaja asalkan benda yang mak mampu." Bukanlah jaga apa sangat. Sekadar menjadi pemandu membawa dia dan suaminya ke hospital. Kerana suaminya sudah tak mampu memandu semenjak jatuh sakit.

3,4 hari pertama, makcik ini kelihatan memakai baju yang sama. Turun naik dari wad ke surau. Sempatla berbual bertanyakan kisahnya. Katanya suaminya tak mahu anaknya menunggu di wad. Kalau ke kafe pun tak boleh berlama-lama. Seboleh-bolehnya suaminya mahu dia sentiasa berada di depan mata. Dia langsung tidak pulang ke rumah. Tidurnya di kerusi malas di sebelah katil suaminya sahaja.

Setelah hampir seminggu, makcik ini tak lagi turun ke surau. Mandi, solat tidur kesemuanya di wad. Eyebag jelas kelihatan. Muka pun dah naik cengkung. Selalu menguap tak cukup tidur. Tidurnya pun dilantai beralaskan kain pelapik tilam.

Diiyakan dan diturutkan sahaja arahan suaminya walaupun kadang terdengar suaminya meninggi suara (Situasi normal bila orang dalam kesakitan tapi tak mampu berbuat apa-apa). Masih juga setia menemani walaupun dia sendiri tak cukup rehat.

Sepanjang hampir 3 minggu di hospital, hanya sekali dua sahaja ternampak anaknya datang ketika waktu melawat.

---

PAKCIK 1

Kisah ini diceritakan mak saya. Ketika di hospital ipoh, mak rajin bertegur sapa dengan mereka yang dia rasakan sebaya dan nampak mesra. Selalunya dia buat kawan ketika turun ke surau dan berehat di kerusi yang disusun di luar surau.

Mak selalu nampak pakcik dan makcik ni. Mulanya sekadar berbalas senyum. Tapi bila dah selalu terserempak, mereka pun bertegur sapa bertukar cerita.

Katanya makcik ini menghidap masalah buah pinggang. Perlukan rawatan dialisis setiap hari. Hanya berkerusi roda. Perlu berada di hospital seawal 7 pagi menunggu giliran untuk menjalani rawatan. 11 malam barulah urusan rawatan selesai dan mereka pun pulang ke rumah. Pagi esoknya perlu datang lagi dan begitulah rutin hariannya sudah berapa lama dan sampai bila saya pun tak pasti.

Anak-anak? Semuanya perlu bekerja dan teruskan kehidupan dan tanggungjawab terhadap keluarga masing-masing.

---

Ok, habis cerita. Hehe.. Kisah-kisah ini sekadar hasil renungan saya terhadap kisah dan kesusahan hidup orang lain yang saya temui sepanjang di hospital.

Kadang-kadang kita rasa beratnya ujian kita. Percayalah ada lagi orang lain yang lebih susah yang kita sendiri pun tak mampu nak pikul. Bayangkan pun tak nak sebab tahu ujian tu amat berat amat payah. Sebabnya Allah bagi ujian ikut kemampuan masing-masing.

Selalunya kita sebagai anak akan fikir, nanti mak ayah aku tua, dah tak larat, sakit.. akulah yang kena uruskan kena jaga. Saya pun fikir macam ni dulu. Sebenarnya bilangan anak-anak yang jaga mak ayah ni tak ramai. Bukan majoriti saya rasa. Jangan dabik dada macam tu. Kita tak tahu, boleh jadi mak ayah yang tua itulah yang akan jaga kita. Bila Allah nak uji, apa pun Dia mampu buat. Yang kita tak sangka-sangka Dia bagi. Kisah mak ayah tua jaga anak ni pun banyak kat hospital. Tak percaya pi lah duk hospital tengok. Hehe..

Doakan semoga mak ayah diberikan kesihatan yang baik dan beroleh husnul khatimah sajalah.

Mak ayah (saya pun seorang mak) pula, jangan harapkan anak-anak menjaga bila kita sudah tua dan tak upaya. Doakan supaya kita diberikan kesihatan yang baik dan beroleh husnul khatimah juga.

Kita juga pernah melalui fasa sebagai seorang anak, yang bersuami/beristeri dan punyai anak-anak untuk kita nikmati hidup berkeluarga dengan seronok dan bahagia. Begitu juga anak-anak kita nanti. Mereka juga mahu seronok dan bahagia bersama keluarga masing-masing. Bukan salah mereka juga bila mereka tak mampu cepat menghadirkan diri di saat kIta memerlukan bantuan. Mereka sendiri hidup penuh tanggungjawab perlu diuruskan. Doakan urusan mereka dipermudahkan.

Dari kisah-kisah pakcik makcik ini, apa yang saya dapat, sebagai suami dan isteri, jagalah kesihatan masing-masing, sayangilah pasangan masing-masing. Bila tua nanti, tiada yang paling dekat dan cepat menghulurkan bantuan selain pasangan sendiri. Itulah kawan, itulah teman.

Comments

Popular posts from this blog

Anak Yang Belum Pandai Membaca Pun Pandai Guna Whatsapp Call

Malam kelmarin ibu keluar sekejap temankan paksu di wad. Memang setiap kali nak keluar, ibu kena tunggu adik tidur dulu barulah ibu boleh ke wad. Kalau tak, pecahlah keheningan malam di anjung kasih tu dek tangisan nyaring adik. Tak sampai 2 jam di wad, skrin handphone ibu menyala-nyala. Panggilan whatsapp voice call dari Tok. Wah, adik dah bangun ke? Biasanya kalau adik bangun, adik menangis cari ibu. Tok akan call suruh ibu balik. Sebabnya adik ni jenis yang susah dipujuk. Rupanya dah banyak kali ada missed voice call dari nombor tok. Ibu pun angkat phone call tu, "hello assalamualaikum. Awat mak, adik nangis ke?". Suara adik yang jawab, "ibu..." teresak-esak menangis. Dah banyak kali rupanya adik call ibu. Bila ibu cakap, adik pun mulalah menangis lagi kuat. Tok cakap adik sebak dah tak boleh nak cakap dah. Sambil pujuk adik, ibu bagi tahu paksu yang ibu kena balik. Adik dah menangis. Kesian kat paksu, dik. Kata tok, rupanya dari tadi lagi adik call ibu. Tok d

Anakku Guruku

Anak adalah guru. Sering kita dengar, ibu adalah guru pertama anak. Ini benar. Seorang ibu memang merupakan guru pertama anak-anaknya. Apabila mendapat anak pertama, saya sedar, anak inilah bakal menjadi guru saya yang mengajar saya menjadi seorang ibu. Saya tak pernah tahu mengenai ilmu kelahiran, disebabkan pengalaman trauma melahirkannya, mengajar saya mendalami ilmu mengenai kelahiran. Cara melahirkan yang lebih mudah dan tidak menyakitkan. Saya tak pernah tahu mengenai ilmu penyusuan. Tak pernah bayangkan pun yang akhirnya saya akan menyusukan anak. Disebabkan kesusahan saya untuk menyusukannya, saya dalami ilmu penyusuan. Rupanya ada ibu-ibu yang tak mampu menyusukan anak sesudah lahirnya anak ke dunia. Rupanya masalah flat nipple/inverted nipple itu wujud. Baru saya tahu. Saya tak pernah tahu cara mengendalikan si tubuh kecil ini. Tangan saya keras, tak pernah saya jaga seorang bayi walaupun adik sendiri. Dia mengajar saya cara mendukungnya, cara memandikannya, cara menghib

Ragam Ibu Melepaskan Anak Bersekolah

Setelah berkahwin, saya tak pernah lagi keluar bekerja di luar. Apabila anak kami lahir, saya memberikan sepenuh perhatian kepadanya. Tak pernah berjauhan langsung dengannya. Hubungan kami sangat rapat. Kasih di hati juga sangat kuat. Dari kecil saya menyusukannya dengan susu badan sepenuhnya, segala-gala untuknya saya lakukan sendiri dengan tangan saya. Saya mahu dia terus merasakan kasih sayang saya mengalir dalam dirinya. Disebabkan itu, beberapa bulan sebelum anak sulung saya bersekolah, saya sangat risau sehingga terasa seolah-olah akan kehilangannya, hilang kasih sayang dan cintanya. Risau tumpuannya akan beralih kepada kawan-kawannya dan cikgu-cikgunya. Ikutkan hati, mahu saja saya homeschool anak saya ini. Biar dia sentiasa berada di depan mata saya. Namun, sedar kekurangan diri dari segi sumber dan kewangan, saya terpaksa merelakan dan melepaskan juga anak saya ini ke dalam jagaan cikgu-cikgunya di sekolah. Selain itu, saya turut risau anak saya akan ketinggalan kerana pe