Skip to main content

Terangkan dan Beri Tunjuk Ajar Kepada Anak Dengan Baik

Ibu tuangkan teh o yang baru ibu bancuh ke dalam cawan dan ibu letakkan di lantai. Nak sejukkan sebelum boleh diminum. Adik dengan perut yang kekenyangan seronok baring di ribaan ibu. Sengaja menolak apa sahaja yang dapat dicapai dengan kakinya. Ibu dah pesan, "kaki taknak tolak-tolak macam tu adik.. Kaki letak bawah." Seronok agaknya hingga terlupa teh o panas yang berada di hujung kaki turut ditolaknya tanpa sengaja.
Ibu marah. Ibu ambil kain dan lap tumpahan teh o panas itu. Mujurlah tak terkena kaki adik. Adik senyap, tahu dirinya telah melalukan kesalahan. Adik tengok sahaja apa yang ibu buat. Sesudah mengelap tumpahan teh o, ibu tuang pula air mineral ke lantai. Adik buat muka terkejut dan keliru. Hairan agaknya, kenapa adik tak sengaja tumpahkan air ibu marah. Ibu sengaja tuang air takpa pula?
Ibu gelak. Ibu terangkan kat adik, "tadi air teh yang tumpah tu manis adik.. melekit.. kena bilas dengan air masak ni pula. Baru hilang rasa melekit tu. Baru semut tak datang". Baru adik nampak ok. Kalau tak, ketat muram je muka kena marah.
Tiga hari lepas, ketika sedang memesan nasi ayam di kafeteria, Afif terus ke peti ais dan menyuruh ibu mengambil susu kotak perisa strawberi. Ibu capai satu kotak dan hulur kepada Afif. Terus dibuka dan diminumnya sampai habis. Belum bayar pun lagi. Ayahnya sudah nampak tidak berpuas hati.
Kotak sudah kosong, Afif berpusing ke kiri ke kanan. Lalu dibuangnya kotak susu yang kosong itu ke lantai. Ayah yang memang sudah tidak berpuas hati dari tadi terus memarahi Afif.  Ibu tengok riak wajah Afif yang terkejut bercampur malu. Ibu suruh Afif ambil kotak susu tadi dan ibu tunjukkan tong sampah. Ibu bawa Afif ke tong sampah dan meminta Afif membuangnya ke dalam tong sampah. Afif akur. Laju sahaja dia menuju ke tong sampah apabila tahu lokasinya.
Ayahnya tak faham... Afif bukan sengaja membuang kotak susu ke lantai. Tetapi kerana tak tahu di mana mahu letakkannya. Dia berpusing ke kiri ke kanan mencari tong sampah tapi tak kelihatan di matanya. Memang selalunya ibu akan minta Afif buangkan sampah ke dalam tong sampah apabila kami keluar ke mana-mana. Di rumah pun Afif dan adiknya sudah dilatih menggunakan tong sampah.
Apabila anak melakukan kesilapan, jangan cepat bersuara marah. Mereka melakukan kesilapan kerana mereka tidak tahu dan perlu ditunjuk ajar. Tugas ibu bapalah untuk memberi tunjuk ajar. Bukan semudah memarahi semata-mata.
Apabila anak tidak tahu, ibu bapa terangkan, ibu bapa bantu. Kefahaman tak akan diraih tanpa penerangan.
Kedua-dua situasi ini walaupun nampak kecil, sebenarnya memberi kesan besar terhadap emosi anak-anak. Situasi adik tak sengaja tumpahkan teh o panas,  jika tidak diberi penjelasan kenapa ibu tuang air masak ke lantai, adik akan keliru sebenarnya tumpahkan air ni betul atau salah? Situasi Afif membuang kotak susu ke lantai, jika ibu tak cepat membantu, Afif akan terus membatu kerana terkejut dan malu dimarahi ayahnya hanya kerana dia tak tahu dimana letaknya tong sampah.

Comments

Popular posts from this blog

Panduan Memilih Permainan Untuk Anak 0-3 Tahun

Saya percaya pasti ibu-ibu teruja apabila melihat lambakan permainan edukatif di pasaran. Bukan sahaja di shopping complex atau kedai menjual barang permainan, malahan di facebook dan instagram juga meriah banyaknya. Kalau boleh mahu dibeli semua untuk anak-anak tercinta. Bagi ibu-ibu yang mempunyai peruntukan lebih, anak-anaknya pasti mempunyai koleksi permainan yang bermacam-macam di rumah. Sampai terbuang atau bersepah tidak tergunakan kebanyakannya. Tetapi adakah anak-anak kita perlukan kesemua permainan-permainan itu? Ini adalah panduan yang ibu-ibu boleh gunakan untuk ibu-ibu memilih permainan yang penting dan bermanfaat untuk anak-anak pada peringkat awal. 1. Pilih permainan yang menambah kosa kata Antara permainan yang menambah kosa kata anak-anak adalah permainan yang bertemakan buah-buahan, sayur-sayuran, haiwan. Umur yang sesuai untuk diberikan permainan bertema ini adalah ketika anak berumur 0-3 tahun. Ketika bermain, ajarkan anak-anak menyebut bunyi. Contohnya, jika ...