Skip to main content

Ragam Suami Isteri Baru

Dalam perjalanan ke ipoh siang tadi, kami singgah untuk mengisi perut di Gopeng.. Cukuplah buat alas perut anak-anak dan suami sementara mereka nak sampai ke kampung.

Sudah separuh makanan kami habiskan, datang sepasang suami-isteri duduk di sebelah meja. Baru berkahwin gayanya. Mungkin tahun pertama perkahwinan lagi. Si isteri, sedang hamil dan masih kecil perutnya.

Dari butir-butir perbualan mereka, dapat saya agak mereka sedang berbalah mengenai hal kecil sahaja mungkin. Ada disebut family datang, abang datang, mama datang, tidur luar. Mungkin si suami tidak berpuas hati kerana terpaksa tidur di luar apabila keluarga si isteri datang berkunjung. Ataupun mungkin ada isu lain lagi yang dipersoalkan.

Nampaknya kedua-duanya tidak mahu mengalah, masing-masing mahu pasangan menerima pendirian mereka. Melihat kedua-dua suami-isteri ini, seolah-olah melihat cermin diri di masa lalu. Begitulah kami di awal perkahwinan.

Difikir-fikir, terasa betapa ruginya berbalah atas perkara yang tidak perlu, remeh, yang tidak penting. Sekecil-kecil perkara sengaja diperbesar-besarkan semata-mata ingin menunjukkan diri-sendiri berkuasa dan menguasai, ataupun diri-sendiri tidak mudah ditundukkan dan diarah-arah sesuka hati.

Mungkin kerana budaya kita menyebabkan minda kita diasuh supaya berhati-hati di awal perkahwinan. Jika asyik menurut, bimbang dipijak kepala kononnya. Bila asyik menurut, dikata "takut bini", "queen control". Belum kenal hati budi masing-masing sudah dipasang prasangka dan perasaan yang tidak-tidak.

Bila dikenang-kenang, terasa bodohnya menjunjung ego yang tidak memberi apa-apa pulangan apalagi kebaikan di masa hadapan. Rugi dan sia-sia.

Buat yang masih baru menjadi pasangan suami isteri, fikir-fikirkanlah letak duduk perkara yang diperbalahkan. Adakah perkara itu memberi kesan buruk kepada anak-anak, menjejaskan masa depan diri dan keluarga, ataupun bakal mengheret diri, pasangan dan anak-anak ke neraka jika tidak diperbetulkan segera.

Sekadar mengenang kebudak-budakan diri yang dulu. Perasaan mahu menang itu masih ada walaupun usia sudah lama dewasa. Cuma rasa itu perlu dipujuk dan dilentur sendiri dengan kesabaran, kebijaksanaan dan pengalaman. Pelan-pelan...

Comments

Popular posts from this blog

Ragam Ibu Melepaskan Anak Bersekolah

Setelah berkahwin, saya tak pernah lagi keluar bekerja di luar. Apabila anak kami lahir, saya memberikan sepenuh perhatian kepadanya. Tak pernah berjauhan langsung dengannya. Hubungan kami sangat rapat. Kasih di hati juga sangat kuat. Dari kecil saya menyusukannya dengan susu badan sepenuhnya, segala-gala untuknya saya lakukan sendiri dengan tangan saya. Saya mahu dia terus merasakan kasih sayang saya mengalir dalam dirinya. Disebabkan itu, beberapa bulan sebelum anak sulung saya bersekolah, saya sangat risau sehingga terasa seolah-olah akan kehilangannya, hilang kasih sayang dan cintanya. Risau tumpuannya akan beralih kepada kawan-kawannya dan cikgu-cikgunya. Ikutkan hati, mahu saja saya homeschool anak saya ini. Biar dia sentiasa berada di depan mata saya. Namun, sedar kekurangan diri dari segi sumber dan kewangan, saya terpaksa merelakan dan melepaskan juga anak saya ini ke dalam jagaan cikgu-cikgunya di sekolah. Selain itu, saya turut risau anak saya akan ketinggalan keran...