Skip to main content

Tak Tahu Masak!

Teks: Salena Shafiee

Masih ingat lagi, saat-saat awal menggalas tugas sebagai isteri. Terlalu banyak yang tidak dikuasai. Banyak yang perlu diperbaiki dan dipelajari.

Saya bukanlah seorang yang cekap mengurus rumahtangga. Bukan juga seorang yang mahir ilmu masak memasak. Kari pun tiada rupa, rasanya apatah lagi. Gulai lemak pula sentiasa terpisah lemaknya dari air. Nasi kadangkala mentah, adakalanya terlebih air, kuih-muih, biskut dan kek? Wah, jauh sekali.

Menu sehari-hari, sayur goreng, ikan goreng, sambal tumis ataupun kari yang tak berapa jadi. Sehinggakan kami masing-masing muak dengan menu yang sama setiap hari.

Suatu hari kami berbual mengenai menu masakan. Apa lagi menu yang boleh dimasak untuk mengalas perut setiap hari. Suami mencadangkan saya bertanyakannya pada emak saya.

Soalan saya ajukan, panduan diberikan. Lauk berkuah lawannya biarlah dengan lauk bergoreng. Ayam atau ikan. Mulai saat itu saya belajar memasak menu-menu yang tak pernah saya masak seumur hidup saya. Pajeri, masak merah, masak kicap, kurma.

Ya, memang saya tidak cekap bab masakan. Membesar di bawah asuhan nenek, apalah sangat menu yang dimasak. Sambal tumis, asam pedas, lemak kuning, lemak putih, selebihnya sayur-sayur ditumis air ataupun digoreng. Kadangkala ulaman kampung. Maka jangan diharapkan saya memasak menu yang hebat-hebat. Briyani, rendang atau masala. Goreng mee pun saya tak reti!

Adakalanya arwah nenek sediakan juga kuih-kuih kampung. Tapi sayang tidak satu pun yang dapat saya teliti dan tekuni. Mungkin kerana masa banyak dihabiskan dengan membaca buku dan mengulangkaji. Sedar-sedar semuanya telah terhidang. Resipinya? Saya pun tak pasti.

Mujurlah Allah beri saya suami yang memahami. Yang sedia tahu kelemahan isteri. Dan mujur juga suami arif juga perihal masak memasak ini.

Mungkin disebabkan suami saya berdikari sendiri sewaktu bujangnya. Tinggal menyewa sendirian, memasak pula setiap hari. Banyak juga ilmu dapur yang diperturunkannya kepada saya. 😂 Emaknya pula memang seorang yang cekap memasak. Pelbagai menu lauk-pauk, kuih-muih, kek dan biskut semuanya semudah memetik jari.

Hampir setahun saya mengambil masa untuk menghasilkan masakan yang menjadi. Santan tak lagi pecah minyaknya, kari sudah nampak rupanya. Semuanya diperbaiki melalui proses yang berulang-ulang.

Setiap kali memasak, diteliti semuanya, diperbaiki salahnya, diperhati hasilnya. Akhirnya saya sudah mampu berpuas hati. Suami dan anak-anak membesar dan masih hidup sihat dengan masakan saya walaupun sekadar memasak lauk-pauk seharian.

Syukurlah, masih mampu menyediakan masakan buat mengisi perut insan-insan yang disayangi setiap hari. Masakan-masakan lain, perlahan-lahanlah saya pelajari.

Memasak merupakan kemahiran yang boleh dikembangkan. Kemahiran yang perlu dipelajari melalui praktis sehari-hari.

Buat adik-adik yang mungkin runsing dek provokasi sekeliling mengenai rendahnya kualiti wanita bila tak tahu memasak, senyum sahaja. Usah khuatir. Setiap wanita pasti boleh memasak. Sekurang-kurangnya untuk mengisi perut anak-anak dan suami. Cuma perlukan masa dan kesabaran sebelum masakan kita menjadi.

Comments

Popular posts from this blog

Selamat Hari Guru

Ini catatan saya mengenai hari guru sebulan yang lalu. --------------- Hari ni hari guru. Tak amik port sangat sebab banyak benda lain nak difikirkan sebulan dua ni. Pagi ni baru sedar, eh anak ibu dah sekolah. Ibu pun ada join group kelas dia. Ramai yang wish hari guru kat cikgu-cikgunya pagi tadi. Ibu dah kena berkecimpung balik dah dengan sambutan hari guru ni. Sorry cikgu takde prepare apa-apa untuk kalian.. Ucapan selamat hari guru je sempat sediakan untuk cikgu-cikgu Afif. Sebut pasal hari guru, teringat ibu masa kecil-kecil dulu. Darjah 1 ke 2 tak ingat.. Masa tu ibu memang tak cerdik. Tak faham kenapa kena pergi sekolah. Sampailah satu hari iaitu sambutan hari guru. Hari sebelumnya, guru kelas ibu ada pesan hari guru boleh bawa apa-apa untuk bagi hadiah pada cikgu. Bunga pun boleh. Balik rumah ibu beria nak bawa bunga bagi kat cikgu esoknya. Mak saudara ibu cakap tak payah.. Bunga tu untuk letak kat rumah.. hias kat rumah.. bukan untuk bagi kat cikgu. Tapi ibu bawa juga bag...