Skip to main content

WAHM Tak Cukup Masa!

Teks: Salena Shafiee

Masalah utama seorang ibu yang bekerja dari rumah ataupun WAHM adalah masa. Selalu juga saya baca rungutan rakan-rakan fb yang turut menjalankan bisnes dari rumah berkenaan tak cukup masa.

Tak cukup masa nak homeschool anak-anak, tak cukup masa nak bermain dengan anak, tak cukup masa untuk ajar anak, tak cukup masa nak lipat kain baju, tak cukup masa nak kemas rumah, segalanya berkenaan masa.

Saya juga begitu. Awal-awal penglibatan saya dengan bisnes secara online ini, rumah tunggang terbalik. Anak-anak tak terurus, masak seringkali lewat, baju tak berlipat, lantai berhabuk, pakaian suami jarang bergosok, dan saya stress sendiri.

Kenapa stress ye walaupun ada juga duit yang masuk? Bila direnung-renung, difikir-fikir semula, masalah utamanya adalah pengurusan masa dan disiplin untuk terus mengikut jadual yang disediakan.

Saya berterusan memperbaiki kelemahan berkenaan pengurusan masa ini. Sehingga ke hari ini masih lagi terdapat masalah berkenaan masa. Tetapi alhamdulillah rumah dan anak-anak semakin terurus. Bagaimana cara saya?

Pertamanya, sediakan jadual dan to-do-list. Mesti disiplin ikut jadual dan perancangan yang sudah dibuat. Seboleh-bolehnya gunakan kaedah time blocking. Gunakan apa sahaja kaedah yang dirasakan sesuai dengan suasana rumahtangga masing-masing. Ambil kira suami dan anak-anak juga.

Keduanya usahakan bangun awal. Seawal 4 pagi jika mampu. Saya peruntukan masa mengikut waktu solat. Bangun seawal pagi untuk siapkan apa sahaja urusan berkenaan bisnes, cari kekuatan jiwa dengan solat tahajud dan membaca al-quran. Kemudian sediakan sarapan dan siapkan anak ke sekolah. Waktu dhuha saya peruntukkan untuk fokus pada anak dirumah, siapkan makanan tengahari dan juga sedikit waktu untuk urusan bisnes. Setelah zuhur saya pastikan anak-anak tidur. Waktu ini saya dapat fokus semula pada urusan bisnes ataupun membaca ataupun apa-apa kerja rumah yang perlu diselesaikan. Setelah asar adalah waktu untuk makan malam dan biarkan anak-anak bermain di luar sebentar sebelum bersiap untuk bersolat maghrib. Selepas maghrib  adalah waktu untuk berehat sambil mengajar anak-anak. Usahakan supaya anak-anak tidur awal selewat-lewatnya 10.30 malam. Sekiranya lebih awal adalah lebih baik.

Ketiga, elakkan membuang masa di facebook. Ingatkan diri sebelum membuka facebook, apa tujuan kita menggunakan facebook pada waktu itu. Hanya lakukan apa yang kita mahu sahaja kemudian keluar dari situ. Jika tersedar yang kita sudah membuang masa melilau tanpa tujuan di facebook, terus tutup aplikasi facebook. Tegas dan disiplinkan diri. Kemudian semak semula apa yang kita perlu lakukan dengan merujuk to-do-list.

Usahakan untuk menyiapkan kerja-kerja rumah dengan cepat. Memasak, menjemur pakaian, menguruskan pakaian yang sudah kering, semuanya perlu dilakukan dengan efisien. Fikirkan caranya. Minta anak-anak bantu melakukan kerja rumah yang dirasakan mampu mengikut tahap umur mereka. Kemas sendiri permainan dan buku-buku yang mereka gunakan, buang sampah, masukkan baju ke dalam bakul, masukkan pinggan ke sinki, angkat pakaian dari jemuran, gantung pakaian mereka sendiri, vacuum lantai. Jangan halang jika anak mahu membantu.

Kesemua ini perlukan latihan berterusan. Tidak akan teratur sekelip mata sahaja seperti perancangan di atas kertas. Saya sendiri akan ada masa bersemangat, ada masa saya rasa "down". Apapun, bangkit semula dan lakukan lagi berterusan sehingga kita jumpa cara yang sesuai dan dalam masa yang sama menggembirakan hati semua. Fitrah ibu dan isteri, hanya bahagia bila anak-anak dan suami gembira. Jika anak-anak dan suami terasa kurang diberi perhatian, inilah yang akan buat saya rasa bersalah dan stress akhirnya.

Boleh bantu saya kongsikan cara ibu-ibu menguruskan masa masing-masing supaya saya juga dapat belajar untuk memperbaiki cara pengurusan masa saya. Kita sama-sama belajar.

Comments

Popular posts from this blog

Selamat Hari Guru

Ini catatan saya mengenai hari guru sebulan yang lalu. --------------- Hari ni hari guru. Tak amik port sangat sebab banyak benda lain nak difikirkan sebulan dua ni. Pagi ni baru sedar, eh anak ibu dah sekolah. Ibu pun ada join group kelas dia. Ramai yang wish hari guru kat cikgu-cikgunya pagi tadi. Ibu dah kena berkecimpung balik dah dengan sambutan hari guru ni. Sorry cikgu takde prepare apa-apa untuk kalian.. Ucapan selamat hari guru je sempat sediakan untuk cikgu-cikgu Afif. Sebut pasal hari guru, teringat ibu masa kecil-kecil dulu. Darjah 1 ke 2 tak ingat.. Masa tu ibu memang tak cerdik. Tak faham kenapa kena pergi sekolah. Sampailah satu hari iaitu sambutan hari guru. Hari sebelumnya, guru kelas ibu ada pesan hari guru boleh bawa apa-apa untuk bagi hadiah pada cikgu. Bunga pun boleh. Balik rumah ibu beria nak bawa bunga bagi kat cikgu esoknya. Mak saudara ibu cakap tak payah.. Bunga tu untuk letak kat rumah.. hias kat rumah.. bukan untuk bagi kat cikgu. Tapi ibu bawa juga bag...