Skip to main content

Posts

Showing posts from 2017

Suami Isteri Tua

Isteri, berbuat baiklah kepada suami. Suami, berbuat baiklah kepada isteri. Isteri, jagalah diri. Suami, jagalah diri. Jagalah kesihatan masing-masing. Jika dipanjangkan umur, bila tua nanti, kalian saling memerlukan, saling bergantungan. Tiada yang paling dekat akan setia meneman menghulur bantuan selain pasangan. Antara cebisan kisah hidup yang direnungi di hospital semalam. --- MAKCIK 1 Ramah benar menegur mak saya ketika kami menunggu di kerusi di jabatan kecemasan. Umurnya pertengahan 60-an. Sedang menunggu suaminya yang sedang diperiksa di wad kecemasan dek luka kemerahan kaki suaminya kerana menghidap kencing manis. Mereka datang ke hospital ditemani anak saudaranya. Suaminya berusia lebih 70 tahun tapi masih kuat bekerja. Selepas bersara, pernah mengusahakan penternakan lembu namun tak begitu menjadi. Kemudian diusahakan pula menanam sawit dan terus mengerjakan ladang sawitnya sehingga sekarang. 20 tahun lalu, suaminya diserang sakit jantung. Katanya, doktor hanya  memb

Geng Kutip Duit Raya

Assalamualaikum.. kami datang nak raye!!! Assalamualaikum.. Kami datang nak raye!!! Assalamualaikum.. Kami datang nak raye!!! Berkali-kali beri salam.. memang lebih dari 3 kali lah. Kita diam-diam je dalam rumah sebab memang tak ready nak terima tetamu pun. So salam pun tak bersahut. Dah berkali-kali diorang bagi salam, kita pun fikir balik. Alah.. Budak-budak ni datang nak kutip duit raya je.. just bagi duit jelah kat diorang. Takyah panggil masuk.. Tengok wallet ngam je ada 4 ringgit. Yang lain not 10,20. Macam mana ni.. ok takpe, niat sedekah je. Pastu sorang budak yang paling besar cakap kat afif yang kebetulan tengah  main kat depan rumah, "Panggil mak jap. Panggilla mak.. Kitorang datang nak raye.." Kita hendap je kat tingkap. Afif pun lari masuk suruh p jumpa kawan-kawan dia yang duk tunggu depan pagar tu. Oklah, ambilla sorang seringgit. Pass kat Afif suruh bagi kat bebudak tu. Sekali bila diorang tengok afif bawa duit, dilaungnya kat kawan-kawan yang dah lepas k

Selamat Hari Guru

Ini catatan saya mengenai hari guru sebulan yang lalu. --------------- Hari ni hari guru. Tak amik port sangat sebab banyak benda lain nak difikirkan sebulan dua ni. Pagi ni baru sedar, eh anak ibu dah sekolah. Ibu pun ada join group kelas dia. Ramai yang wish hari guru kat cikgu-cikgunya pagi tadi. Ibu dah kena berkecimpung balik dah dengan sambutan hari guru ni. Sorry cikgu takde prepare apa-apa untuk kalian.. Ucapan selamat hari guru je sempat sediakan untuk cikgu-cikgu Afif. Sebut pasal hari guru, teringat ibu masa kecil-kecil dulu. Darjah 1 ke 2 tak ingat.. Masa tu ibu memang tak cerdik. Tak faham kenapa kena pergi sekolah. Sampailah satu hari iaitu sambutan hari guru. Hari sebelumnya, guru kelas ibu ada pesan hari guru boleh bawa apa-apa untuk bagi hadiah pada cikgu. Bunga pun boleh. Balik rumah ibu beria nak bawa bunga bagi kat cikgu esoknya. Mak saudara ibu cakap tak payah.. Bunga tu untuk letak kat rumah.. hias kat rumah.. bukan untuk bagi kat cikgu. Tapi ibu bawa juga bag

Bila Ayah Jaga Anak

Bila ayah jaga anak. 😜 Ini gambar sebulan yang lalu. Sebelum ni kami tak pernah beli langsung cornflakes/kokocrunch atau apa-apa bijirin sarapan untuk disuap ke mulut afif atau adiknya. Sebabnya memang taknak ajar, dan bukanlah bagus untuk kesihatan sangat sebab kandungan gulanya yang tinggi. Budak-budak tak perlu pun gula banyak-banyak. Biskut pun sangat jarang dibeli. Anak-anak pun biasa minum air putih je. Sebab saya sendiri jarang bancuh air manis. Suami balik rumah kena hidang air? Tidak bagi saya. Dulu-dulu buat juga. Sekarang dah tak bancuh melainkan ada permintaan. Tu pun sangat jarang. Kalau dia nak, biasanya dia buat sendiri ikut selera dia. Katanya air yang dia bancuh tu sedap..😜 Takpun dia tapau teh ais siap-siap habuan untuk dia minum. Selalunya bila balik rumah, suami cari sendiri air sejuk dalam peti ais. Juga tidak bergula. Bijirin sarapan dalam gambar ni suami belikan untuk afif. In case tak sempat sediakan sarapan katanya. Sebab sekolah afif tak sediakan sarapa

Terangkan dan Beri Tunjuk Ajar Kepada Anak Dengan Baik

Ibu tuangkan teh o yang baru ibu bancuh ke dalam cawan dan ibu letakkan di lantai. Nak sejukkan sebelum boleh diminum. Adik dengan perut yang kekenyangan seronok baring di ribaan ibu. Sengaja menolak apa sahaja yang dapat dicapai dengan kakinya. Ibu dah pesan, "kaki taknak tolak-tolak macam tu adik.. Kaki letak bawah." Seronok agaknya hingga terlupa teh o panas yang berada di hujung kaki turut ditolaknya tanpa sengaja. Ibu marah. Ibu ambil kain dan lap tumpahan teh o panas itu. Mujurlah tak terkena kaki adik. Adik senyap, tahu dirinya telah melalukan kesalahan. Adik tengok sahaja apa yang ibu buat. Sesudah mengelap tumpahan teh o, ibu tuang pula air mineral ke lantai. Adik buat muka terkejut dan keliru. Hairan agaknya, kenapa adik tak sengaja tumpahkan air ibu marah. Ibu sengaja tuang air takpa pula? Ibu gelak. Ibu terangkan kat adik, "tadi air teh yang tumpah tu manis adik.. melekit.. kena bilas dengan air masak ni pula. Baru hilang rasa melekit tu. Baru semut tak

Anak Yang Belum Pandai Membaca Pun Pandai Guna Whatsapp Call

Malam kelmarin ibu keluar sekejap temankan paksu di wad. Memang setiap kali nak keluar, ibu kena tunggu adik tidur dulu barulah ibu boleh ke wad. Kalau tak, pecahlah keheningan malam di anjung kasih tu dek tangisan nyaring adik. Tak sampai 2 jam di wad, skrin handphone ibu menyala-nyala. Panggilan whatsapp voice call dari Tok. Wah, adik dah bangun ke? Biasanya kalau adik bangun, adik menangis cari ibu. Tok akan call suruh ibu balik. Sebabnya adik ni jenis yang susah dipujuk. Rupanya dah banyak kali ada missed voice call dari nombor tok. Ibu pun angkat phone call tu, "hello assalamualaikum. Awat mak, adik nangis ke?". Suara adik yang jawab, "ibu..." teresak-esak menangis. Dah banyak kali rupanya adik call ibu. Bila ibu cakap, adik pun mulalah menangis lagi kuat. Tok cakap adik sebak dah tak boleh nak cakap dah. Sambil pujuk adik, ibu bagi tahu paksu yang ibu kena balik. Adik dah menangis. Kesian kat paksu, dik. Kata tok, rupanya dari tadi lagi adik call ibu. Tok d

Kalau Dah Namanya Lelaki

Kalau dah namanya lelaki. Bukan main si pesakit ni menyakat cik misi yang merawat. Tak  cukup dengan nurse, doktor-doktor muda berdahi licin pun turut diusiknya. Cun katanya. Ada adik-adik di wad rehab yang mengusik doktor comel, "Fuh..Rasa macam nak duduk sini terus je.." Seorang pesakit yang patah leher dan sebelah kakinya turut mencuba. Mentang-mentang bekas isterinya tiada di sisi menemani waktu itu. Dengan besar rasanya, dipelawa seorang cik misi manja keluar makan. Aku ada empat ribu katanya. Awak nak berjalan pun tak boleh abang. 😂 Layankan ajelah cik misi. Buat menghibur hati sendiri dan menghibur hati mereka. Kakak ini menegur, "suka-suka je nak ngorat noh. Entah-entah bini orang." "Mana kahwin lagi.." Si adik membalas. "Boleh tau ke depa dah kahwin ke belum?", soal si kakak. "Tak pakai cincin." Jawabnya. Hahaha.. tergelak saya. Rupanya itu caranya lelaki menapis perempuan yang mahu dicuba. Jika tersarung cincin di jari,

Belajar Membaca dan Mengeja Menggunakan Whatsapp

Sejak berjauhan dengan anak sulung kerana saya perlu berada di hospital di ipoh, kami sering berhubung menggunakan aplikasi whatsapp. Tidaklah banyak yang dibualkan. Afif sekadar memberitahu saya aktiviti yang dilakukannya, apa yang dimakannya. Saya sangat gembira bila Afif sudah pandai menggunakan aplikasi whatsapp. Bagus sebenarnya kemudahan-kemudahan seperti ini. Anak pun mudah menghubungi saya. Paling best, anak dapat belajar mengeja dan menulis dengan betul. Dengan whatsapp pun anak-anak boleh belajar dan mahirkan diri dengan mengeja dan membaca. Jika ada perkataan yang Afif tersilap eja, saya akan menaip semula perkataan tersebut dengan ejaan yang betul. Dia akan baca dan tahu ejaan yang betul bagi perkataan-perkataan yang ditulisnya. Inilah antara sebab pentingnya menaip menggunakan ejaan penuh. Supaya anak-anak faham apabila membaca dan anak-anak tahu ejaan yang betul bagi perkataan-perkataan baru atau sukar bagi mereka. Taklah mereka keliru. Anak-anak mengajar, anak-anak ju

Tabik Jururawat Lelaki

Bila mula berkenalan dengan hospital ini, baru tahu kePENTINGan male nurse/jururawat lelaki. Kerja-kerja jururawat bukan calang-calang terutama di ward yang memerlukan pemerhatian rapi di mana pesakit yang tidak mampu menguruskan diri perlu diangkat untuk dimandikan ataupun dialihkan posisi, ataupun diletakkan diatas kerusi roda dari pembaringan. Tenaga lelaki sangat diperlukan untuk melakukan kerja-kerja ini. Jika pesakit mempunyai berat dalam julat yang normal, tidaklah begitu sukar untuk diuruskan. Tetapi jika pesakit mempunyai masalah obesiti dengan berat badan mencecah 100-150 kg? Kekuda 4 orang lelaki pun boleh bergegar mahu mengangkatnya, apatah lagi kudrat jururawat wanita yang lemah-lembut, halus dan rapuh fitrahnya. Memerhati sikap dan cara jururawat-jururawat ini bekerja, buat saya lebih menghormati lelaki. Sebelum ini hanya seorang lelaki yang saya tahu bila ingin menyelesaikan tugas yang diberikan kepadanya, sebolehnya mahu dia lakukan sebaik mungkin, sehingga dia sendi

Ragam Suami Isteri Baru

Dalam perjalanan ke ipoh siang tadi, kami singgah untuk mengisi perut di Gopeng.. Cukuplah buat alas perut anak-anak dan suami sementara mereka nak sampai ke kampung. Sudah separuh makanan kami habiskan, datang sepasang suami-isteri duduk di sebelah meja. Baru berkahwin gayanya. Mungkin tahun pertama perkahwinan lagi. Si isteri, sedang hamil dan masih kecil perutnya. Dari butir-butir perbualan mereka, dapat saya agak mereka sedang berbalah mengenai hal kecil sahaja mungkin. Ada disebut family datang, abang datang, mama datang, tidur luar. Mungkin si suami tidak berpuas hati kerana terpaksa tidur di luar apabila keluarga si isteri datang berkunjung. Ataupun mungkin ada isu lain lagi yang dipersoalkan. Nampaknya kedua-duanya tidak mahu mengalah, masing-masing mahu pasangan menerima pendirian mereka. Melihat kedua-dua suami-isteri ini, seolah-olah melihat cermin diri di masa lalu. Begitulah kami di awal perkahwinan. Difikir-fikir, terasa betapa ruginya berbalah atas perkara yang tidak

Sukar Untuk Memahami Selagi Belum Merasai

Benarlah, kita tak akan faham rasa yang dialami oleh orang lain selagi kita tidak berada dalam situasi yang sama dengan mereka. Saat ini usah ucapkan kata-kata memohon sabar. Hulurkanlah bantuan semampu kita. Bantuan kewangan juga amat membantu. Selalunya saya berbahagia di rumah menguruskan isi rumah dan anak-anak. Tidak memikirkan hal lain kerana hidup saya sudah sempurna rasanya. Bahagia dapat bersenang-lenang di rumah melakukan apa sahaja yang saya suka. Dalam sekelip mata tanpa sempat membuat perancangan apa-apa, kami sekeluarga menerima perkhabaran bencana. Adik saya kemalangan dalam perjalanan dari rumah saya untuk pulang ke Pulau Pinang. Kami perlu bergegas ke hospital ipoh. Hari pertama, kami sekeluarga menunggu sahaja di kawasan menunggu di kaki lima hospital. Semuanya punya anak kecil yang turut dibawa bersama. Tiada persediaan apa-apa. Mak dan adik saya tiba seawal jam 4 pagi di hospital. Tanpa sempat memikirkan makan dan membersihkan diri. Masing-masing menunggu adik s

Wanita dan Kasih Sayang

Kisah di hospital. Ada bekas isteri yang masih setia kembali berkhidmat menunggu bekas suami yang terlantar tidak sedar. Ada suami yang datang mahu membelasah isteri yang sedang terlantar tiada upaya. Ada isteri yang terus pindah masuk ke rumah baru di sisi katil suami. Di situlah isteri berbaring, disitulah isteri solat, di ward itu jugalah isteri membersihkan diri. Setia menemani tidak kemana-mana sudah 2 minggu lamanya. Ada ibu yang hampir 7 bulan lamanya bersabar menanti kesembuhan si anak kecil yang menderita. Mereka yang setia menanti di sisi katil ini semuanya wanita. Ada isteri, ibu, kakak, adik, hatta bekas isteri sekalipun. Mereka tidak lagi memikirkan apa-apa. Tidak lagi memikirkan segala yang dulu dirasakan penting bagi diri. Hanya terus menanti, berdoa dan bersabar menantikan kesembuhan insan-insan yang disayangi. Semoga Allah memberikan kesembuhan dan mengembalikan nikmat kesihatan kepada mereka-mereka ini yang bersabar menjalani dugaannya. Berikan kesembuhan kepad

Usah Berlama-lama Dalam Berduka

Saya seorang yang sangat susah nak move on. Masa arwah tok tak ada dulu hampir setahun saya masih tak boleh move on. Mourning, masih teringat-ingat, tak mampu nak teruskan belajar, saya quit. Selalu mimpikan arwah walau setelah bertahun lamanya arwah tak ada. Sayang nak tinggalkan kenangan. Saya nak hidup di dalamnya. Kerana pada saya, bila saya mula melupakan, seolah-olah saya mengkhianati apa yang pernah saya sayang. Akibat dari sikap ini, susah untuk saya ceria semula. Makan tahun lamanya saya bangkit dari terus berduka. Semua ini banyak mempengaruhi setiap keputusan yang saya telah buat dalam hidup saya. Keputusan yang dibuat dipengaruhi emosi yang negatif... semangat yang hidup segan mati tak mahu... Membawa kepada keadaan yang lebih menyedihkan dan lebih banyak keburukan. Sedikit sedikit saya belajar. Belajar menyesuaikan diri dengan keadaan yang tidak pernah ada dalam perancangan. Bukan mudah bila kita merancang sesuatu yang kita anggap sempurna pada mata kita, akhirnya kita

Anak Lebih Peka dan Prihatin daripada Ibu

Sejak jadi ibu yang berusaha mencari pendapatan sendiri ni, saya rasa saya sangat kurang peka terhadap anak-anak, suami dan orang sekeliling yang terdekat. Sama jugalah dengan diri-sendiri. Yang difikir hanya macam mana nak dapat sale . Macam mana nak dapat banyak lagi sale, nak tambah lagi untung jualan. Malam tadi sebelum tidur, anak yang menyayangi saya ingatkan ibunya, "Ibu tak makan ubat lagi" MasyaAllah... how sweet anakku.. sayang benar dan peka benar dengan rutin ibunya ini. Sudah seminggu saya perlu mengambil antibiotik kerana selsema dan sakit tekak. Ini antibiotik yang kedua kerana antibiotik yang saya habiskan sebelum ini seperti kurang berkesan merawat selsema dan sakit tekak saya. Jadi saya perlu habiskan antibiotik yang ini mengikut tempoh dan waktu yang ditetapkan. Sungguh saya lupa. Kami sudah tutup lampu mahu tidur, kemudian dia ingatkan saya. Bila anak buat sesuatu yang patut diraikan dan diberi penghargaan, berilah penghargaan yang sepatutnya dia terima.

Anak Lebih Penting Dari Urusan Sendiri

"Ibu.. Jemur kain.." "Ibu.. pakai tudung jemur kain.." "Ibu.. letak handset kat atas.. jemur kain dulu.." Gesa anakanda saya Afif pagi tadi minta saya letakkan handphone di partition di atas tv. Namun tak juga saya endahkan kerana terlalu asyik meneleku segala yang terpapar di skrin handphone. Afif siap ambilkan tudung untuk saya dan disuruhnya saya pakai keluar menjemur kain. Setelah beberapa minit melihat ibunya masih lagi menekan-nekan skrin handphone, akhirnya dia sendiri menguruskan kain baju yang belum berjemur itu semampu dayanya. Bila selesai urusan dengan handphone, saya lihat sudah separuh baju-bajunya dan adik disangkut dan digantung. Melihat tingkahnya, terpukul jiwa saya. Betapa saya terlalu mementingkan urusan saya berbanding permintaannya. Selalunya begitu. Kebiasaannya begitu. Saya terlalu mementingkan diri dan urusan jual beli saya berbanding memberi perhatian terhadap apa yang dikatakan oleh anak, terhadap permintaan-permintaan ana

Hajat Pelanggan dan Untung Menjual

Bila menjual buku ataupun alat bantu mengajar ni, ada masanya untung dah jadi nombor dua. Asalkan dapat sampaikan barang yang betul-betul dihajati customer untuk memenuhi keperluan mengajar anak-anaknya. Ianya satu kepuasan bila usaha kita sedikit-sebanyak dapat membantu memberi ilmu kepada anak-anak ini. Semoga terselit secebis ganjaran yang Allah kirakan sebagai amal yang baik dan berpanjangan mudah-mudahan. Inilah kisah saya hari ini. Ada seorang pelanggan yang tinggal di Dubai minta kawannya tolong bawakan set buku readeasy yang dibeli daripada saya ke Dubai kerana kebetulan kawannya itu akan pulang semula ke Dubai beberapa hari lagi. Hari terakhir barang perlu sampai ialah pada hari ahad, 2 April. Allah menguji, pada hari jumaat, 31 Mac poslaju menelefon supplier saya untuk mengambil semula parcel yang dihantar kepada kawan pelanggan saya ini kerana parcel telah rosak dan terkoyak. Memang tidak sempat untuk menghantar semula kerana hari sudah lewat, dan esoknya hari sabtu. Mus

Panduan Memilih Permainan Untuk Anak 0-3 Tahun

Saya percaya pasti ibu-ibu teruja apabila melihat lambakan permainan edukatif di pasaran. Bukan sahaja di shopping complex atau kedai menjual barang permainan, malahan di facebook dan instagram juga meriah banyaknya. Kalau boleh mahu dibeli semua untuk anak-anak tercinta. Bagi ibu-ibu yang mempunyai peruntukan lebih, anak-anaknya pasti mempunyai koleksi permainan yang bermacam-macam di rumah. Sampai terbuang atau bersepah tidak tergunakan kebanyakannya. Tetapi adakah anak-anak kita perlukan kesemua permainan-permainan itu? Ini adalah panduan yang ibu-ibu boleh gunakan untuk ibu-ibu memilih permainan yang penting dan bermanfaat untuk anak-anak pada peringkat awal. 1. Pilih permainan yang menambah kosa kata Antara permainan yang menambah kosa kata anak-anak adalah permainan yang bertemakan buah-buahan, sayur-sayuran, haiwan. Umur yang sesuai untuk diberikan permainan bertema ini adalah ketika anak berumur 0-3 tahun. Ketika bermain, ajarkan anak-anak menyebut bunyi. Contohnya, jika

Mengenalpasti Perkembangan Pertuturan Anak Mengikut Tahap Umur

Jika dahulu, jarang kita dengar masalah pertuturan di kalangan kanak-kanak. Yang pastinya masalah pertuturan di kalangan anak-anak telah wujud sejak 10 ataupun 20 tahun dulu. Mungkin disebabkan tiadanya pendedahan lalu ibu bapa kurang kesedaran dengan masalah ini. Ini adalah panduan ringkas dan mudah untuk mengenalpasti samada anak-anak kita mempunyai masalah pertuturan ( spee ch delay). 1. Ketika anak berumur 1 tahun Pastikan anak sudah boleh menyebut 1 perkataan yang mempunyai maksud. Contohnya memanggil mama, baba dengan niat memanggil ibu atau ayahnya. Bukan sekadar menyebut mamama tanpa tujuan. Sekiranya ketika berumur 1 tahun masih belum boleh menyebut 1 perkataan mudah, pantau perkembangan anak sehingga berumur 1 tahun 6 bulan. Tahap umur 1 tahun 6 bulan merupakan borderline untuk anak menyebut 1 perkataan mudah. 2. Ketika anak berumur 2 tahun Anak sepatutnya sudah mampu menyebut 2 patah perkataan seperti nak makan, nak air. 3. Ketika anak berumur 3 tahun Anak sudah bol

Pro dan Kontra Permainan Elektronik

Perkembangan industri permainan dan pendidikan kanak-kanak dilihat semakin pesat sekarang. Sudah banyak permainan dan alat bantu mengajar yang bermacam-macam di pasaran. Antaranya buku-buku elektronik dan juga smart pen. Saya sendiri turut menjual Ebook Islamik dan Smart Pen Upin Ipin yang mendapat permintaan tinggi dari ibu bapa. Persoalannya, adakah buku-buku elektronik dan smart pen ini membantu pembelajaran anak-anak kita? Sebenarnya, tidak salah untuk memberikan anak-anak alat bantu mengajar elektronik seperti ini, syaratnya anak perlu menggunakannya dengan pengawasan ibu bapa. Pastikan juga anak tahu cara menggunakannya dengan betul, bukan sekadar kerana teruja mendengar bunyi-bunyian yang dikeluarkan sahaja. Jika anak sudah boleh fokus dan faham apa yang diterangkan oleh ebook ataupun smartpen itu, tiada masalah untuk membiarkan mereka menggunakannya. Biasanya, hanya anak yang berumur 4-5 tahun sahaja sudah mula faham mengenai cara penggunaan alat bantu mengajar elektronik i

6 Tahap Perkembangan Kemahiran Anak

Enam tahap perkembangan kemahiran anak yang perlu diperhatikan oleh ibu bapa: 1. Kemahiran eye-contact Kemahiran ini perlu diperhatikan dari anak berumur 0-1 tahun. Perhatikan sama ada anak boleh memandang kita ataupun memerhatikan apa yang sedang kita lakukan. 2. Kemahiran daya tumpuan (menumpukan perhatian) / attention Perhatikan samada anak-anak mampu memberi perhatian terhadap penerangan ibu bapa mengenai sesuatu yang baru bagi mereka, ataupun ketika bermain. Adakah mereka memberi tumpuan ketika bermain ataupun ketika terlibat dalam apa-apa aktiviti? 3. Kemahiran mengambil giliran Kemahiran mengambil giliran ketika bermain ataupun melakukan aktiviti bersama-sama. Ini menunjukkan anak memahami dan mampu bekerjasama ketika melakukan apa-apa aktiviti dengan rakan-rakan/adik-beradik/ibu bapa. 4. Kemahiran meniru Terdapat banyak kemahiran meniru yang boleh dipelajari anak-anak. Antaranya, meniru perbuatan/gaya, meniru mimik muka, dan kemahiran meniru yang paling sukar adalah kem

Puji Allah di depan Anak-anak

Setelah hampir seminggu demam selsema, saya tidak mampu lagi bertahan dek kerana masih perlu menguruskan anak-anak dan rumahtangga walaupun keadaan diri memang tidak sihat. Akhirnya saya bersetuju dengan gesaan suami yang sudah beberapa kali mengajak saya ke klinik. Sesampainya di klinik dan setelah doktor melakukan pemeriksaan, kami sempat berborak kosong sebentar. Kebetulan suami juga perlu berjumpa doktor kerana tangannya tiba-tiba sahaja timbul bintik-bintik gatal. Selsema saya ini rupanya perlu dirawat dengan antibiotik. Tidak cukup sekadar dengan ubat selsema dan paracetamol yang sedia ada di rumah. Di bilik doktor, kami berbual-bual sekadar berbasa-basi. Tanya doktor, "anak dua orang je ye? dua-dua perempuan ye?" saya senyum dan iyakan, "ye baru dua orang ni, tapi yang sulung tu lelaki" merujuk kepada Afif. Doktor terkejut kerana disangkanya Afif seorang anak perempuan. Saya dan suami tidaklah terkejut mahupun tersinggung dengan kata-kata doktor kerana suda

Cuti Sekolah dan Demam

Kadangkala sebagai isteri dan ibu, kita rasa kita kuat, kita ego. Biasanya kalau setakat tak sihat sikit-sikit seperti demam, selsema, kita abaikan sahaja rasa tak sihat itu. Kuat kononnya. Rasa diri masih mampu menguruskan anak-anak dan keluarga seperti biasa. Saya juga begitu. Seminggu anak bercuti sekolah, banyak yang saya angankan untuk lakukan bersama anak-anak. Akhirnya saya diuji dengan  selsema yang tak mahu sembuh. Selsema yang berlarutan sehingga demam dan sakit kepala. Pada mulanya saya sangka saya cuma selsema biasa sahaja. 4,5 hari nanti sembuhlah saya. Saya tak ambil paracetamol ataupun ubat selsema. Sebabnya rasa diri masih kuat dan boleh sembuh begitu sahaja tanpa ubat-ubatan. Biasalah, dah memang musim selsema kata saya. Saya seorang yang sangat jarang demam ataupun selsema. Seingat saya kali terakhir saya demam selsema ialah 3 tahun lepas. Selebihnya hanya selsema biasa sahaja. Disebabkan itu saya tidak mengambil apa-apa ubat-ubatan untuk menghilangkan selsema saya

Ragam Ibu Melepaskan Anak Bersekolah

Setelah berkahwin, saya tak pernah lagi keluar bekerja di luar. Apabila anak kami lahir, saya memberikan sepenuh perhatian kepadanya. Tak pernah berjauhan langsung dengannya. Hubungan kami sangat rapat. Kasih di hati juga sangat kuat. Dari kecil saya menyusukannya dengan susu badan sepenuhnya, segala-gala untuknya saya lakukan sendiri dengan tangan saya. Saya mahu dia terus merasakan kasih sayang saya mengalir dalam dirinya. Disebabkan itu, beberapa bulan sebelum anak sulung saya bersekolah, saya sangat risau sehingga terasa seolah-olah akan kehilangannya, hilang kasih sayang dan cintanya. Risau tumpuannya akan beralih kepada kawan-kawannya dan cikgu-cikgunya. Ikutkan hati, mahu saja saya homeschool anak saya ini. Biar dia sentiasa berada di depan mata saya. Namun, sedar kekurangan diri dari segi sumber dan kewangan, saya terpaksa merelakan dan melepaskan juga anak saya ini ke dalam jagaan cikgu-cikgunya di sekolah. Selain itu, saya turut risau anak saya akan ketinggalan kerana pe

Kenapa Jual Buku?

Dalam banyak-banyak produk yang boleh dijual, kenapa saya memilih untuk menjual buku? Awalnya, saya mendaftar sebagai ejen menjual buku kerana saya sendiri sukakan buku, supaya saya dapat membeli buku-buku yang saya mahu pada harga yang murah. Tapi, saya sendiri tidak mempunyai peruntukan untuk membeli buku untuk diri-sendiri kerana saya tidak mempunyai pendapatan sendiri. Jadi, bagaimana caranya supaya saya dapat membeli buku-buku yang saya mahu? Ya, caranya adalah mula menjual buku. Saya mencuba-cuba menjual buku yang saya rasakan boleh jalan. Alhamdulillah ada yang membeli. Apa yang sangat membantu, syarikat yang saya berdaftar dengannya begitu rancak mengadakan promosi free shipping pada awal penglibatan saya sebagai ejen mereka iaitu sepanjang tahun 2016. Promosi free shipping sangat membantu kerana buku merupakan item yang agak berat. Bila promosi free shipping dilakukan, maka ramailah yang tidak akan melepaskan peluang memborong buku untuk diri-sendiri dan anak-anak. Saya am

Bercuti Empat Hari

Empat hari bercuti, banyak perkara perlu diselesaikan. Hari ni uruskan rumah dulu. Esok sambung aliran rezeki. Empat hari ini, rasa syahdu, mengenang zaman suci dan naif sewaktu kanak-kanak dulu. Semuanya indah-indah seronok selalu. Rindu... Rindu saat masih belum mengenal cinta, saat hati belum diserahkan pada mana-mana lelaki. Lebih indah masa itu. Bahagia dan ceria penuh cita-cita. Cinta yang memusnahkan diri dan impian itu bukanlah cinta. Ramai yang keliru dan celaru. Empat hari itu ada juga yang datang mengadu. Masalah yang hanya mampu didengari tanpa dapat dibantu. Semoga Allah berikan kebaikan buat kamu dan kamu. Semoga Allah ubati hati kamu yang sedang bersabar dalam sendu. Hanya Dia jualah yang Maha Membantu, yang memegang hatiku, hatinya dan hatimu. Moga diberikan kekuatan dan dibukakan jalan keluar buat kamu dari masalah itu. Hari ini, hati cuba menjejak masa lalu. Masa yang ditinggalkan jauh di belakang. Saat diri terperangkap dengan langkah yang silap. Terlalu banyak ya

Anakku Guruku

Anak adalah guru. Sering kita dengar, ibu adalah guru pertama anak. Ini benar. Seorang ibu memang merupakan guru pertama anak-anaknya. Apabila mendapat anak pertama, saya sedar, anak inilah bakal menjadi guru saya yang mengajar saya menjadi seorang ibu. Saya tak pernah tahu mengenai ilmu kelahiran, disebabkan pengalaman trauma melahirkannya, mengajar saya mendalami ilmu mengenai kelahiran. Cara melahirkan yang lebih mudah dan tidak menyakitkan. Saya tak pernah tahu mengenai ilmu penyusuan. Tak pernah bayangkan pun yang akhirnya saya akan menyusukan anak. Disebabkan kesusahan saya untuk menyusukannya, saya dalami ilmu penyusuan. Rupanya ada ibu-ibu yang tak mampu menyusukan anak sesudah lahirnya anak ke dunia. Rupanya masalah flat nipple/inverted nipple itu wujud. Baru saya tahu. Saya tak pernah tahu cara mengendalikan si tubuh kecil ini. Tangan saya keras, tak pernah saya jaga seorang bayi walaupun adik sendiri. Dia mengajar saya cara mendukungnya, cara memandikannya, cara menghib

5 Perkara Perlu Tahu Sebelum Jadi Ibu

Pengalaman mengajar saya untuk ambil tahu banyak perkara sesudah menjadi ibu. Sesudah menjadi ibu baru tahu mengenai perkara-perkara ini sebenarnya sudah agak terlambat. Tapi, better late than never kan? Ini panduan untuk adik-adik yang bakal menjadi ibu. Rajin-rajinkan diri mencari dan membaca mengenai perkara-perkara ini. 1. Kelahiran. Ambil tahu apa itu gentle birth , hypno birth , hak-hak ibu ketika berada di labour room. Perlu atau tidak Vaginal examination ( VE ) berkali-kali, boleh atau tidak jika mahu dipantau perawat wanita sahaja. Perlu atau tidak kehadiran ramai doktor pelatih di labour room. 2. Penyusuan. Percayalah anda perlukan jiwa yang kental untuk terus menyusukan anak selama 2 tahun. Percayalah bahawa masalah dalam proses penyusuan itu sebenarnya wujud. Ambil tahu cara mengendalikan susu perahan/expressed breast milk (EBM), ambil tahu apa itu masalah flat nipple/inverted nipple , apa yang perlu dilakukan apabila bengkak susu, ambil tahu cara penyusuan dan postur

Bersalin Anak Pertama Episod 2

Malam pertama sebagai ibu dan anak, saya panggil nurse, dan beritahu saya tak pandai susukan anak. Nurse kemudian bawa anak saya pergi. Mungkin mereka memberikan anak saya susu formula. Setelah lebih kurang sejam anak saya dibawa semula kepada saya. Sungguh, saya tak tahu langsung apa yang perlu saya lakukan dengan anak saya. Nyenyak benar tidurnya mungkin disebabkan kekenyangan. Pesan nurse perlu tunggu baby kencing dan beraknya sudah mula kuning baru boleh discaj. Ikut logik pemikiran, saya pun cek diaper anak kecil ini. Ya, sudah mula kencing, berak pun sudah tapi masih kehijauan lagi. Tiba-tiba si kecil muntah susu. Saya lap dan salin bajunya. Biarkan dia tidur semula. Esoknya ketika doktor datang melawat saya katakan yang anak saya muntah malam tadi. Sebelum itu ada nurse berikan susu kepadanya. Mungkin untuk memastikan anak saya benar-benar sihat, doktor memindahkan kami ke wad paediatrik. Akibatnya, saya terpaksa berada selama 3 hari di hospital. Walhal, anak saya sebenarny

Sambal Telur Puyuh Afif

Satu sikap Afif yang selalu buat ibu rasa kena "smash", bila ibu lambat sediakan makanan, dia sendiri akan pergi ambil periuk nasi, ceduk beras, basuh dan letak atas dapur. Cuma belum pandai buka api dapur je lagi. Tengahari ni dia ambil telur puyuh pula. Nak buat sambal agaknya. Suruh ibu masak dari semalam tapi ibu tangguh tak masak lagi. Telur dah siap rebus tinggal nak buat sambal sahaja lagi. Janganlah selalu tampar ibu anakku. 😭 Mungkin Afif ada kekurangan jika nak dibandingkan dengan kawan-kawan sebanyanya. Ya, Afif kurang vocabulary, masih kurang fasih berbual secara dua hala. Perkembangan fizikalnya agak lambat dibandingkan dengan anak-anak lain. Setahun setengah baru boleh berjalan. Ibu senang hati saja bila Afif lalui fasa merangkak yang lama. Tapi yang pasti Afif anak yang baik. Kata cikgunya, Afif bijak, punyai logical thinking. Ada anak-anak yang lancar berbual tapi belum punyai logical thinking. Dan Afif tetaplah anak ibu biar apa pun kurangmu. Hanya ibu

Anak-anak dan Tuhan

Teks: Salena Shafiee Sambil angkat baju tengahari tadi, sempat melayan anak-anak yang belum mahu tidur. "Adik tengok tu, yang putih tu awan. Yang biru tu langit. Cantik sangat langit hari ni. Awan tu putih macam kapas." Adik pun panjat pagar melihat ke arah awan yang memutih dan langit yang membiru. Afif pun berminat, turutlah dia mendongak sama. "Pandai Allah cipta langit, cipta awan..." Afif bersuara, "nak naik!" sambil jari ditunjukkan ke arah awan. Ibu senyum. "Kalau Afif nak naik atas awan, dah besar nanti Afif kena bawa kapal terbang... Helikopter ke... Baru dapat rasa awan tu macam mana." "Afif nak bawa kapal terbang?" "Nakkk", jawabnya dengan penuh teruja. Ibu senyum lagi. "Kalau nak bawa kapal terbang, Afif minta kat Allah bagi Afif boleh bawa kapal terbang na. Nanti Allah bagi Afif bawa kapal terbang. Nak apa pun semua minta kat Allah tau." Afif diam. Sambil merenung pohon-pohon hijau di hadapa

Pelanggan dan Tracking Number

Teks: Salena Shafiee Antara cabaran ibu-ibu yang mencari duit dengan dropship ialah, supplier lambat feedback/respons. Tambah serius customer mula bersangka tak elok bila masih belum dapat tracking number. Dah ditanya pada supplier masih juga tidak berjawab. Di pihak customer pula terus menekan. Kalau tak pandai mengurus emosi, macam-macamlah isu lain akan timbul. Samada annoy dengan supplier ataupun dihamun dan dibodohkan balik customer. Jalan selamat, mohon maaf atas kelewatan dan jaminan barang akan sampai juga kepada alamat yang diberikan. Namun, esoknya usaha perlu diteruskan. Dapat supplier yang tidak mengenakan sebarang yuran ataupun minima yuran komitmennya pun dah seribu rahmat. Itulah usaha kecil-kecilan semata-mata mencari pendapatan. Mahu besarkan perniagaan, modal masih belum mengizinkan. Teringat pengalaman awal saya berniaga dulu, sewaktu belajar-belajar menjual perfume. Masalah utamanya adalah lambat dapat stok. Jika perfume diposkan oleh supplier, seminggu dua ba

Buat Playdoh Sendiri

TEKS: Salena Shafiee Playdoh ataupun plastisin memang kegemaran anak-anak. Ia juga sangat baik untuk menguatkan otot-otot jari yang halus dan comel tu. Kebiasaannya anak-anak diberikan playdoh sebelum memasuki fasa memegang pensil dan sebelum mula belajar menulis. Kalau anak masih belum mahir memegang pensil, nasihat yang selalu diberikan ibu-ibu yang lebih berpengalaman adalah, berikan anak-anak bermain playdoh. Kerisauan yang melanda ibu-ibu yang prihatin ialah, bahan-bahan yang digunakan di dalam penghasilan playdoh komersil. Pewarna dan bahan kimia yang digunakan mungkin membahayakan anak-anak yang bermain dengannya. Fitrah anak-anak, mesti nak masukkan sesuatu yang baru pernah dilihat ke dalam mulut kan? Apatah lagi playdoh yang berwarna-warni tu memang kelihatan menarik dan sedap. Penyelesaiannya? Buat sendiri playdoh untuk anak-anak menggunakan bahan-bahan yang boleh didapati di dapur rumah sahaja. Selamat dan tak perlu risau lagi membiarkan anak-anak bermain playdoh tanpa

Tips Parenting No. 1

Tips parenting nombor 1, didik diri-sendiri dahulu. Saya selalu ingatkan diri saya begini. Tiada tips lain yang dapat diguna atau diaplikasikan dengan baik sekiranya tips pertama ini tak dilakukan terlebih dahulu. Ibu-ibu, anak adalah cerminan kita. Mereka yang putih bersih dan suci ini sebenarnya sangat mengagumi ibu mereka. Ibu adalah bidadari pada mata bundar dan bercahaya mereka. Kita makhluk paling cantik fizikalnya, tingkahnya, kata-katanya bagi mereka. Kita dikagumi mereka sejak dari hari pertama mereka melihat kita. Kitalah idola, kitalah penglipurlara. Lantas, kekaguman itu membuat mereka meniru setiap tingkah dan kata-kata kita. Mereka belajar, mahu jadi seperti kita. Akhirnya segalanya diserap, dan diulang semula melalui perbuatan, tingkah dan kata-kata mereka. Kerana itu saya selalu percaya, tips pertama dalam mendidik anak, DIDIK DIRI-SENDIRI DAHULU. Jadilah wanita yang baik akhlaknya, elok penampilannya, baik budinya, tinggi adabnya, lembut dan sopan tutur-katanya,

Bersalin Anak Pertama Episod 1

Masih ingat lagi saat perit saya melahirkan anak pertama. Masalah utama saya adalah, TAK ADA ILMU. Saya tak pernah tahu bahawa rupanya melahirkan anak perlukan ilmu. Pengalaman dengan anak pertama dahulu, tak ada saya google atau lakukan pencarian info di mana-mana. Salah satu sebabnya saya tak ada resource waktu itu. Tiada akses internet sebab suami tak mampu nak sediakan untuk pastikan data internet sentiasa ada. Kadang-kadang sahaja saya dapat akses itupun amat jarang sekali. Waktu itu belum ada aplikasi whatsapp seperti sekarang. Saya merupakan anak perempuan tunggal. Tiada kakak mahupun adik perempuan. Tidak rapat tahap tidur sebantal dengan mana-mana sepupu perempuan, ataupun kawan perempuan. Dari kecil dibesarkan nenek buat saya janggal untuk merujuk apa-apa masalah wanita dengan emak sendiri. Lagipun saya seorang yang sangat reserved , susah memberi kepercayaan terhadap orang lain. Sudahnya, saya tidak ada sembang-sembang dengan sesiapa mengenai permasalahan atau kemungkina

Tiada Cara Yang Betul Mendidik Anak

Sebelum menjadi seorang ibu dahulu, saya sering terbayang-bayang indahnya jika memiliki anak-anak kecil... Melayan keletah mereka yang manja dan bijak. Menjawab pertanyaan-pertanyaan mereka yang kadang tak terfikir akan disoal. Yang terbayang memang indah. Terpasak niat di dalam hati, jika saya miliki anak nanti, nak diajar mereka begitu dan begini. Nak dibekalkan mereka itu dan ini. Namun, segala perancangan Allah jualah yang menentukan terjadi atau tidaknya ia. Tak semuanya akan berlaku satu persatu seperti apa yang kita impi dan rancangkan. Bila mula jadi ibu, mulalah terfikir-fikir cara yang betul untuk mendidik anak. Apatah lagi zaman teknologi pesat berkembang. Zaman yang segala-galanya di hujung jari sahaja. Sudah mudah mencari info. Sedikit demi sedikit saya mula mengikuti dan membaca perkongsian ramai orang di facebook. Kadangkala saya lakukan juga carian di google. Waktu itu ikon-ikon parenting belum tumbuh bagaikan cendawan selepas hujan lagi. Maka perkongsian yang tidak