Skip to main content

Bersalin Anak Pertama Episod 1

Masih ingat lagi saat perit saya melahirkan anak pertama.

Masalah utama saya adalah, TAK ADA ILMU.

Saya tak pernah tahu bahawa rupanya melahirkan anak perlukan ilmu. Pengalaman dengan anak pertama dahulu, tak ada saya google atau lakukan pencarian info di mana-mana. Salah satu sebabnya saya tak ada resource waktu itu. Tiada akses internet sebab suami tak mampu nak sediakan untuk pastikan data internet sentiasa ada. Kadang-kadang sahaja saya dapat akses itupun amat jarang sekali. Waktu itu belum ada aplikasi whatsapp seperti sekarang.

Saya merupakan anak perempuan tunggal. Tiada kakak mahupun adik perempuan. Tidak rapat tahap tidur sebantal dengan mana-mana sepupu perempuan, ataupun kawan perempuan. Dari kecil dibesarkan nenek buat saya janggal untuk merujuk apa-apa masalah wanita dengan emak sendiri. Lagipun saya seorang yang sangat reserved, susah memberi kepercayaan terhadap orang lain.

Sudahnya, saya tidak ada sembang-sembang dengan sesiapa mengenai permasalahan atau kemungkinan mahupun panduan ketika akan melahirkan. Semuanya saya simpan sendiri.

Penyudahnya, saya trauma setelah melahirkan anak pertama. Bukan dibuat-dibuat tetapi memang saya benar-benar trauma.

Bila diingat-ingat semula, sebenarnya ia terjadi disebabkan silap saya sendiri. Malam itu, saya terjaga awal. Pukul 1 pagi lebih kurang. Sakit memulas seperti tersalah makan. Saya kebilik air seperti biasa dan tiada apa tanda yang kelihatan. Tidur semula.

Pukul 4 pagi, sakit berulang lagi. Kali ini lebih kuat dari tadi. Saya kebilik air, belum sempat duduk bertinggung, terasa air jernih menghambur keluar. Saya sangkakan air ketuban (amniotic fluid) namun saya diamkan dari pengetahuan suami. Saya terus mandi dan bersiap lebih awal dari biasa.

Hari itu hari sabtu, namun suami perlu bekerja lebih masa. Sebelum suami ke tempat kerja, saya beritahu saya sudah mula rasakan sakitnya. Suami hanya memesan telefon dia jika sudah ingin ke hospital.

Selesai mengemas rumah, menjemur pakaian, lebih kurang pukul 9 pagi, sakit makin kerap. Namun belum cukup pun 15 minit sekali. Cuma saya yang tak tahan menanggung sakit seorang diri dan risaukan anak di dalam kandungan. Lalu saya memberitahu suami untuk pulang segera kerana saya mahu ke hospital.

Setengah jam kemudian suami tiba, kami ke hospital sekitar pukul 10 pagi. Setibanya di hospital dan selesai urusan pendaftaran, saya dipanggil masuk ke wad, menyalin pakaian dengan pakaian yang disediakan hospital untuk jururawat lakukan VE (vaginal examination). Sudah 4 cm katanya.

Saya keluar sebentar berjumpa suami. Sempat lagi menelefon mak dan mak ayah mertua memberitahu mereka saya sudah dihospital dan akan melahirkan. Minta doa mereka supaya dipermudahkan. Kemudian jururawat memanggil saya masuk semula ke labour room. CTG dipasang untuk memantau denyutan jantung bayi. Saya cuma berbaring menunggu apa sahaja yang jururawat dan doktor akan lakukan terhadap diri.

Disebabkan hari itu hari sabtu, maka hanya seorang sahaja doktor yang bertugas dan kebetulan doktor tersebut seorang lelaki berbangsa cina. Lagipun saya tak tahu saya sepatutnya boleh memohon dijaga oleh bidan jika tiada kakitangan perempuan.

Tiba giliran saya diperiksa oleh doktor. Bacaan CTG masih ok, scan dilakukan berhati-hati dan soalan doktor muda itu, "puan ada perasan ada air keluar tak?" Dan soalan ini telah salah saya berikan jawapan. Saya katakan "ya, masa bangun pukul 4 pagi tadi ada air keluar. Lepas tu tak de dah." Doktor seolah tidak berpuas hati. Katanya hasil scan menunjukkan kandungan masih intact, tiada kebocoran. Maka secara logiknya tiada air ketuban yang turun. Saya sendiri tidak pasti samada air ketuban ataupun tidak kerana belum pernah mempunyai pengalaman.

Pukul 1.30 tengahari, doktor muda tadi datang semula dan memberitahu saya dia akan pecahkan air ketuban sebab saya cakap tadi dah ada air keluar sikit. Sakit sedikit katanya. Saya cuma angguk membenarkan. Setelah air ketuban dipecahkan, sakit mula menjadi semakin kuat. Dari pukul 11 pagi terbaring sehingga ke pukul 4 petang, bayi masih juga belum mahu keluar. Tenaga tidak lagi bersisa. Diminta air tidak juga diberikan. Diminta panggilkan suami, tidak juga mahu dipanggilkan.

Akhirnya, saya hampir terlelap, bacaan CTG tidak lagi cantik. Doktor muda tadi dan jururawat siapkan saya, pindahkan katil dan memberitahu saya mereka perlu membawa saya ke Teluk Intan secepat mungkin. Suami saya juga sudah dikhabarkan. Saya cuma sempat berjumpa suami sebelum ditolak masuk ke dalam ambulan.

Di dalam ambulan saya berkali-kali dipesan supaya jangan meneran, jangan meneran. Namun tetap juga saya teran bila rasa untuk meneran itu sampai. Itulah pertama kali saya menaiki ambulan. Saya tak ambil pusing lagi dengan keadaan sekeliling asalkan anak saya dapat dikeluarkan segera. Tak tertanggung lagi kesakitan itu.

Kami sampai ke Hosptal Teluk Intan pada pukul 6.10 petang. Di sana saya dikerumuni ramai jururawat dan doktor pelatih lelaki dan perempuan. Hanya  dua orang bidan yang berusaha mententeramkan saya dan mengajar saya bernafas dan meneran. Selebihnya hanya menjadi tukang sorak dan menjamu mata melihat situasi dan pengalaman baru mungkin.

Saya memang sudah kehabisan tenaga. Terasa seperti mahu pejamkan mata dan menyerah sahaja. Hiruk-pikuk labour room itu sahaja yang buat saya celik lagi. Akhirnya dua orang bidan menjerit pada saya, "ya, macam tu.. sikit lagi..sikit lagi.." Saya tak faham pun apa yang dijerit mereka. Sampai kepada kata-kata sikit lagi tu, seorang bidan dan seorang jururawat menekan perut saya, dan sempat saya rasakan kepala bayi sudah hampir keluar (crowning). Sesaat sahaja mungkin, zapp! terasa ngilu digunting dan laju sahaja bayi menyusur keluar tepat jam 6.29 petang.

Bayi dipusingkan ke arah saya dan saya diminta menyebutkan jantinanya. "lelaki" kata saya. Lalu bayi lelaki itu diletakkan ke atas dada saya kira-kira seminit dua sebelum dibawa pergi.

Luka saya pula diperiksa untuk dijahit. Jahitan pertama dilakukan doktor pelatih, seorang wanita India sambil diperhatikan doktor wanita Melayu yang lebih senior. Selesai jahitan, bidan datang dan melihat semula jahitan luka. Tak cantik katanya. Dimarahnya doktor pelatih tadi kerana melakukan kesilapan.

Saya tanya, kenapa nurse? Dijawabnya "tak ada apa.. Cuma kena jahit semula betulkan balik sikit. Adik jangan risau ye. Kami jahit balik cantik-cantik" Saya hanya mengangguk dalam kesakitan. Selesai luka dicuci dan dijahit, saya ditolak ke wad bersalin.

Waktu itulah baru berjumpa suami. Mak mertua juga sudah sampai waktu itu. Bayi kami juga ditolak bersama. Mak mertua menyuruh suami azankan bayi kami secepat mungkin. Mak mertua saya membantu menukarkan pakaian bayi kami sebelum meminta izin meninggalkan saya dan bayi kecil saya. Mereka pulang setelah saya selesai membersihkan diri.

Bersambung...

Comments

Popular posts from this blog

Anak Yang Belum Pandai Membaca Pun Pandai Guna Whatsapp Call

Malam kelmarin ibu keluar sekejap temankan paksu di wad. Memang setiap kali nak keluar, ibu kena tunggu adik tidur dulu barulah ibu boleh ke wad. Kalau tak, pecahlah keheningan malam di anjung kasih tu dek tangisan nyaring adik. Tak sampai 2 jam di wad, skrin handphone ibu menyala-nyala. Panggilan whatsapp voice call dari Tok. Wah, adik dah bangun ke? Biasanya kalau adik bangun, adik menangis cari ibu. Tok akan call suruh ibu balik. Sebabnya adik ni jenis yang susah dipujuk. Rupanya dah banyak kali ada missed voice call dari nombor tok. Ibu pun angkat phone call tu, "hello assalamualaikum. Awat mak, adik nangis ke?". Suara adik yang jawab, "ibu..." teresak-esak menangis. Dah banyak kali rupanya adik call ibu. Bila ibu cakap, adik pun mulalah menangis lagi kuat. Tok cakap adik sebak dah tak boleh nak cakap dah. Sambil pujuk adik, ibu bagi tahu paksu yang ibu kena balik. Adik dah menangis. Kesian kat paksu, dik. Kata tok, rupanya dari tadi lagi adik call ibu. Tok d

Anakku Guruku

Anak adalah guru. Sering kita dengar, ibu adalah guru pertama anak. Ini benar. Seorang ibu memang merupakan guru pertama anak-anaknya. Apabila mendapat anak pertama, saya sedar, anak inilah bakal menjadi guru saya yang mengajar saya menjadi seorang ibu. Saya tak pernah tahu mengenai ilmu kelahiran, disebabkan pengalaman trauma melahirkannya, mengajar saya mendalami ilmu mengenai kelahiran. Cara melahirkan yang lebih mudah dan tidak menyakitkan. Saya tak pernah tahu mengenai ilmu penyusuan. Tak pernah bayangkan pun yang akhirnya saya akan menyusukan anak. Disebabkan kesusahan saya untuk menyusukannya, saya dalami ilmu penyusuan. Rupanya ada ibu-ibu yang tak mampu menyusukan anak sesudah lahirnya anak ke dunia. Rupanya masalah flat nipple/inverted nipple itu wujud. Baru saya tahu. Saya tak pernah tahu cara mengendalikan si tubuh kecil ini. Tangan saya keras, tak pernah saya jaga seorang bayi walaupun adik sendiri. Dia mengajar saya cara mendukungnya, cara memandikannya, cara menghib

Ragam Ibu Melepaskan Anak Bersekolah

Setelah berkahwin, saya tak pernah lagi keluar bekerja di luar. Apabila anak kami lahir, saya memberikan sepenuh perhatian kepadanya. Tak pernah berjauhan langsung dengannya. Hubungan kami sangat rapat. Kasih di hati juga sangat kuat. Dari kecil saya menyusukannya dengan susu badan sepenuhnya, segala-gala untuknya saya lakukan sendiri dengan tangan saya. Saya mahu dia terus merasakan kasih sayang saya mengalir dalam dirinya. Disebabkan itu, beberapa bulan sebelum anak sulung saya bersekolah, saya sangat risau sehingga terasa seolah-olah akan kehilangannya, hilang kasih sayang dan cintanya. Risau tumpuannya akan beralih kepada kawan-kawannya dan cikgu-cikgunya. Ikutkan hati, mahu saja saya homeschool anak saya ini. Biar dia sentiasa berada di depan mata saya. Namun, sedar kekurangan diri dari segi sumber dan kewangan, saya terpaksa merelakan dan melepaskan juga anak saya ini ke dalam jagaan cikgu-cikgunya di sekolah. Selain itu, saya turut risau anak saya akan ketinggalan kerana pe