Empat hari bercuti, banyak perkara perlu diselesaikan. Hari ni uruskan rumah dulu. Esok sambung aliran rezeki.
Empat hari ini, rasa syahdu, mengenang zaman suci dan naif sewaktu kanak-kanak dulu. Semuanya indah-indah seronok selalu. Rindu... Rindu saat masih belum mengenal cinta, saat hati belum diserahkan pada mana-mana lelaki. Lebih indah masa itu. Bahagia dan ceria penuh cita-cita. Cinta yang memusnahkan diri dan impian itu bukanlah cinta. Ramai yang keliru dan celaru.
Empat hari itu ada juga yang datang mengadu. Masalah yang hanya mampu didengari tanpa dapat dibantu. Semoga Allah berikan kebaikan buat kamu dan kamu. Semoga Allah ubati hati kamu yang sedang bersabar dalam sendu. Hanya Dia jualah yang Maha Membantu, yang memegang hatiku, hatinya dan hatimu. Moga diberikan kekuatan dan dibukakan jalan keluar buat kamu dari masalah itu.
Hari ini, hati cuba menjejak masa lalu. Masa yang ditinggalkan jauh di belakang. Saat diri terperangkap dengan langkah yang silap. Terlalu banyak yang silap. Tidaklah mampu dihindarkan lagi kesilapan-kesilapan itu. Melainkan menerima kesilapan diri dan bersyukur kerana masih diberi peluang menebus semuanya dengan taubat dan hati yang lurus mencari keredhaan.
Akhirnya, bukanlah apa anggapan orang yang mampu membahagiakan ataupun menyesakkan hatimu.. Tetapi hatimu sendiri yang membahagiakan dirimu. Yakinlah, kamu wanita yang baik, yang layak mendapat segalanya yang baik. Sayangi semula diri dan jadilah yang terbaik untuk diri-sendiri.
Buat diriku, maafkan diri ini untuk semua kesilapan yang pernah aku lakukan. I love you.
Comments
Post a Comment