Skip to main content

8 Perkara yang WAHM Perlukan Untuk Kekal Aktif

Bila duduk dan merenung kembali masa lalu, sewaktu anak masih seorang, dan masih punyai banyak masa untuk menatang anak, menguruskan rumahtangga dengan sesempurna mungkin, terasa bahagianya bila punyai kelapangan masa sebegitu.

Masih mampu berbaring sambil menonton tv, mampu menjaga dan memberi perhatian kepada anak sepenuhnya. Tiada kemarahan pada anak dek sibuknya diri yang berusaha mencari pendapatan.

Tidak seperti sekarang yang masa menjadi keperluan. Tidak boleh dibazir sewenang-wenangnya. Semuanya perlu diuruskan dengan teratur dan bersungguh.

Ya, bukan mudah menjadi ibu dan isteri yang menguruskan sendiri urusan rumahtangga dan anak-anak dalam masa yang sama sibuk mencari pendapatan sendiri.

Saya sendiri dalam situasi ini. Dan ramai rakan-rakan maya saya di FB yang seangkatan dengan saya. Menguruskan anak-anak sendiri. Makan minum, pakaian dan kebersihan sedaya boleh dijaga rapi. Tiada makanan segera untuk anak-anak, yang kecil dipastikan menyusu badan sepenuhnya. Rumah diusahakan bersih dan teratur,  tiada longgokan pakaian tidak berlipat, tiada lantai yang licin dek tumpahan air atau percikan minyak.

Belum cerita hal anak-anak. Anak seorang masih ok lagi. Anak dua, tiga, atau empat. Berbagai ragam yang pasti menjentik emosi.

Lalu bagaimana para WAHM ini menyesuaikan diri? Ini dari pengamatan saya terhadap kehidupan yang saya lalui sehari-hari. Ini cara saya, boleh juga kongsikan cara ibu-ibu di sini.

1. Jaga Kesihatan
Pastikan ibu-ibu mengambil makanan yang sihat dan seimbang. Lebihkan sayur-sayuran atau ulam-ulaman. Kurangkan karbohidrat (nasi/roti/mee) dan gula.

2. Minum Air yang Cukup
Seboleh-bolehnya 1.5 liter hingga 2 liter sehari. Hindarkan air bergula. Air penting untuk sel berfungsi dengan baik.

3. Tidur yang Cukup
Untuk kekal bertenaga dan mudah mengawal emosi, pastikan ibu-ibu memperolehi tidur yang cukup. Jika dapat, peruntukkan sedikit waktu untuk tidur sebentar di waktu tengahari (qailulah). Tidur di waktu tengahari memberi kesegaran sepanjang hari. Otak dapat berfungsi dengan cerdas dan fokus.

4. Bersenam
Peruntukkan waktu untuk bersenam. Bersenam sangat baik untuk memperbaiki emosi ibu-ibu. Jika sedang stress, bersenamlah. Keluarkan peluh dan toksin yang melemahkan tubuh. Boleh tonton bermacam-macam video senaman di youtube ataupun boleh juga download aplikasi di Play Store. Saya cadangkan cuba senaman Tabata ataupun download aplikasi 30 Day Fitness Challenge.

5. Me-time
Kadangkala kita perlu lari dari rutin sehari-hari. Apabila terlalu terikat dengan rutin, kita akan mudah stress. Lupakan sementara rutin yang takkan pernah habis. Peruntukkan masa untuk diri-sendiri. Buat apa sahaja hobi atau kesukaan ibu-ibu. Membaca, menulis, melukis, mewarna, berkebun ataupun keluar bersiar.

6. Rancang Masa dan Disiplin Dengan Jadual
Merancang masa ini terpakai untuk semua orang. Sediakan jadual dan to-do-list setiap hari. Ini dapat mengelakkan kita hilang fokus apa yang ingin/perlu kita selesaikan pada setiap hari. Pastikan disiplin dengan jadual/perancangan yang telah dilakukan. Ini cara saya merancang masa saya.

7. Penuhi Keperluan Emosi Diri dan Anak-anak
Fitrah anak-anak memerlukan perhatian ibu, dan fitrah kita sebagai ibu mahu anak-anak rasa selamat dan disayangi. Jika terlalu sibuk mencari pendapatan sendiri sehingga hilang perhatian terhadap anak-anak, lama-kelamaan ibu akan stress kerana perasaan bersalah terhadap diri-sendiri dan anak-anak. Anak-anak juga akan cenderung untuk tantrum dan "buat perangai". Ini semua sebagai ekspresi emosi anak-anak yang mahukan perhatian dari ibu mereka. Oleh itu, pastikan sekurang-kurangnya sejam setiap hari masa yang berkualiti diperuntukkan untuk fokus terhadap anak-anak. Sekiranya mampu memperuntukkan lebih masa, adalah lebih baik. Bila keperluan emosi masing-masing dipenuhi, barulah hari-hari dapat dilalui dengan senang hati.

8. Jaga Hubungan Dengan Allah
Ini merupakan tips terakhir dan yang paling penting di antara semuanya. Pastikan ibadat wajib ditunaikan sebaik yang mungkin. Solat di awal waktu, solat tahajud dan solat dhuha juga. Peruntukkan waktu untuk membaca al-quran setiap hari, dan berdoalah dengan spesifik dan bersungguh-sungguh. Mengadulah apa sahaja, mintalah apa sahaja kerana tiada sesiapa yang mampu memberi apa yang kita mahukan selain dari Allah. Tips no.1-no.8 juga tidak akan mampu kita lakukan tanpa izinNya

Saya doakan ibu-ibu mampu kekal kuat dalam perjuangan membesarkan anak-anak dan dalam masa yang sama menaikkan taraf hidup melalui usaha mencari pendapatan sendiri sebagai WAHM. Sudi-sudi berkongsi tips ibu-ibu untuk kekal positif dan bertenaga dengan saya juga ya. 😊

Comments

Popular posts from this blog

Anak Yang Belum Pandai Membaca Pun Pandai Guna Whatsapp Call

Malam kelmarin ibu keluar sekejap temankan paksu di wad. Memang setiap kali nak keluar, ibu kena tunggu adik tidur dulu barulah ibu boleh ke wad. Kalau tak, pecahlah keheningan malam di anjung kasih tu dek tangisan nyaring adik. Tak sampai 2 jam di wad, skrin handphone ibu menyala-nyala. Panggilan whatsapp voice call dari Tok. Wah, adik dah bangun ke? Biasanya kalau adik bangun, adik menangis cari ibu. Tok akan call suruh ibu balik. Sebabnya adik ni jenis yang susah dipujuk. Rupanya dah banyak kali ada missed voice call dari nombor tok. Ibu pun angkat phone call tu, "hello assalamualaikum. Awat mak, adik nangis ke?". Suara adik yang jawab, "ibu..." teresak-esak menangis. Dah banyak kali rupanya adik call ibu. Bila ibu cakap, adik pun mulalah menangis lagi kuat. Tok cakap adik sebak dah tak boleh nak cakap dah. Sambil pujuk adik, ibu bagi tahu paksu yang ibu kena balik. Adik dah menangis. Kesian kat paksu, dik. Kata tok, rupanya dari tadi lagi adik call ibu. Tok d

Anakku Guruku

Anak adalah guru. Sering kita dengar, ibu adalah guru pertama anak. Ini benar. Seorang ibu memang merupakan guru pertama anak-anaknya. Apabila mendapat anak pertama, saya sedar, anak inilah bakal menjadi guru saya yang mengajar saya menjadi seorang ibu. Saya tak pernah tahu mengenai ilmu kelahiran, disebabkan pengalaman trauma melahirkannya, mengajar saya mendalami ilmu mengenai kelahiran. Cara melahirkan yang lebih mudah dan tidak menyakitkan. Saya tak pernah tahu mengenai ilmu penyusuan. Tak pernah bayangkan pun yang akhirnya saya akan menyusukan anak. Disebabkan kesusahan saya untuk menyusukannya, saya dalami ilmu penyusuan. Rupanya ada ibu-ibu yang tak mampu menyusukan anak sesudah lahirnya anak ke dunia. Rupanya masalah flat nipple/inverted nipple itu wujud. Baru saya tahu. Saya tak pernah tahu cara mengendalikan si tubuh kecil ini. Tangan saya keras, tak pernah saya jaga seorang bayi walaupun adik sendiri. Dia mengajar saya cara mendukungnya, cara memandikannya, cara menghib

Ragam Ibu Melepaskan Anak Bersekolah

Setelah berkahwin, saya tak pernah lagi keluar bekerja di luar. Apabila anak kami lahir, saya memberikan sepenuh perhatian kepadanya. Tak pernah berjauhan langsung dengannya. Hubungan kami sangat rapat. Kasih di hati juga sangat kuat. Dari kecil saya menyusukannya dengan susu badan sepenuhnya, segala-gala untuknya saya lakukan sendiri dengan tangan saya. Saya mahu dia terus merasakan kasih sayang saya mengalir dalam dirinya. Disebabkan itu, beberapa bulan sebelum anak sulung saya bersekolah, saya sangat risau sehingga terasa seolah-olah akan kehilangannya, hilang kasih sayang dan cintanya. Risau tumpuannya akan beralih kepada kawan-kawannya dan cikgu-cikgunya. Ikutkan hati, mahu saja saya homeschool anak saya ini. Biar dia sentiasa berada di depan mata saya. Namun, sedar kekurangan diri dari segi sumber dan kewangan, saya terpaksa merelakan dan melepaskan juga anak saya ini ke dalam jagaan cikgu-cikgunya di sekolah. Selain itu, saya turut risau anak saya akan ketinggalan kerana pe